KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar kolej maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas dan melanggar tiang elektrik di Jalan Atas Tol, di sini malam ini.
Nahas yang berlaku kira-kira pukul 8 malam itu menyebabkan pelajar Kolej Universiti TATI, Amirul Iman Mohd Zulkifly, 19, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz sedang dalam perjalanan dari Chendering menghala ke Gelugor Kedai.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tiang elektrik di tepi jalan. Pelanggaran itu menyebabkan tiang elektrik tersebut patah dan motosikal mangsa rosak teruk di bahagian hadapan dan belakang,” katanya. – UTUSAN