PETALING JAYA: Tular di media sosial sejak semalam satu video yang mendakwa penemuan mayat seorang lelaki dalam sebuah kenderaan di parkir pusat beli-belah KLCC.
Bagaimanapun, siasatan polis mendapati, kejadian itu sebenarnya berlaku pada Januari lalu dan bukan kes baharu seperti yang didakwa.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, laporan berhubung insiden tersebut telah diterima pada 25 Januari lalu, kira-kira pukul 5.07 petang.
“Siasatan telah dijalankan dengan bantuan pihak forensik Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kuala Lumpur.
“Mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik dan Patologi Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, hasil siasatan setakat ini tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu laporan penuh makmal.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih atau mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung perasaan keluarga mangsa.
“Tindakan boleh diambil terhadap mana-mana individu yang menyebarkan kandungan berunsur jelik di media sosial, seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang,” ujarnya. – UTUSAN