KUALA TERENGGANU: Gerai ayam golek Ferris Wheel di Kampung Wakaf Beruas di sini yang diusahakan anak kepada pelakon veteran, Wan Maimunah Wan Abdul Aziz menjadi tumpuan sejak tular dalam media sosial, baru-baru ini.
Pelakon berusia 68 tahun itu berkata, ia adalah pengalaman pertamanya turun padang berniaga di Terengganu pada Ramadan untuk memberi sokongan kepada anaknya, selain mengambil kesempatan bertemu dengan peminat.
Mesra disapa sebagai ‘ibu’, katanya, pada hari pertama berniaga, ramai yang singgah di gerai itu setelah melihat kain rentang yang memaparkan wajahnya.
“Ramai yang singgah untuk memastikan sama ada betul atau tidak ibu berada di sini atau kain rentang tersebut sekadar gimik promosi untuk melariskan jualan ayam golek.
“Kebetulan, pada hari tersebut, ibu hanya ke gerai selepas Asar, jadi ramai yang sangka ia hanya gimik semata-mata. Keesokannya, ibu pergi awal dan ramai yang rakam video serta gambar untuk muat naik di media sosial menyebabkan makin ramai peminat yang menyedari kehadiran ibu di sini,” katanya.
Selain ayam golek yang dijual pada harga RM28 seekor dan RM16 untuk setengah ekor, gerai tersebut turut menjual nasi beriani berharga RM5 dan pelbagai jenis air.
Pelakon yang sinonim dengan watak air mata itu berkata, dia terharu kerana ramai peminat datang sejak gerai mula dibuka pukul 3.30 petang untuk bergambar dengannya. – UTUSAN