Pemilik tidak mengaku buang basikal dari tingkat 12

Pemilik tidak mengaku buang basikal dari tingkat 12, penyebab wanita terima lima jahitan

AZURAINI Yazid cedera dan menerima lima jahitan di kepala selepas dihempap sebuah basikal di Program Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang wanita cedera dan  menerima lima jahitan di kepala selepas dihempap sebuah basikal yang dibuang dari tingkat 12 bangunan Program Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran, di sini, semalam.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4 petang itu,  Azuraini Yazid, 43, mahu membuang sampah di pekarangan flat tersebut sebuah basikal dibuang dari atas flat tersebut menghempap kepalanya. 

Suami mangsa, Jusri Ibrahim, 48, berkata, isterinya terjatuh dan tidak sedarkan diri akibat kejadian itu dan diberi rawatan kecemasan oleh pasukan perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Alhamdulillah, keadaannya kini stabil setelah dirawat di hospital tersebut,” katanya yang bekerja sebagai pemandu Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Jusri berkata, dia sangat kecewa dengan insiden tersebut yang berlaku menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri dan berharap tidak berulang.

 “Memang saya ada jumpa pemilik basikal itu, namun dia mendakwa basikal anaknya yang berada di luar rumah dibuang individu lain,” katanya.

Sementara itu, Azuraini yang sudah dibenarkan keluar dari hospital  berkata, dia masih terkejut dan trauma dengan insiden tersebut.

“Semuanya berlaku terlalu pantas, saya tak ingat apa-apa tetapi nampak banyak sangat darah mengalir.Alhamdulillah doktor kata saya sihat cuma ada kesan lebam di kepala dan sedikit luka di tangan,” katanya yang mahu tahu punca sebenar kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor mengesahkan ada menerima laporan berkaitan insiden tersebut.

“Polis sudah merakam percakapan seorang penghuni kediaman yang mengaku basikal itu miliknya. Namun dia mendakwa tidak terlibat membuang basikal daripada tingkat 12,” katanya.

 

 

 

UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN