IPOH: Seorang pekerja sebuah kedai serbaneka di Jalan Besar Menglembu di sini dirakam menyimbah seekor anjing menggunakan air panas.
Kejadian itu tular selepas rakaman video litar tertutup (CCTV) premis tersebut dimuatnaik di laman sosial Facebook oleh Fauziah Paws Care dan mendapat kritikan ramai.
Rata-rata warga maya meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan pekerja itu yang disifatkan kejam dan tidak berperikemanusiaan sekali gus meminta polis mengambil tindakan segera terhadap pelaku.
Menerusi rakaman CCTV itu, seorang lelaki dipercayai pekerja kedai sama dilihat mengisi air dari mesin pemanas ke dalam cawan sebelum menyimbah ke arah seekor anjing yang berada di pintu masuk premis. Kejadian tersebut turut disaksikan oleh pekerja lain.
Difahamkan, pelaku terbabit merupakan pekerja warga Bangladesh dan laporan kejadian itu telah di buat di Balai Polis Menglembu.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintenden Mohamad Sajidan Abdul Sukor ketika dihubungi berkata, kenyataan media berkaitan insiden itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, KK Super Mart dalam kenyataan yang dimuatnaik di Facebook berkata, tindakan telah diambil terhadap pekerja terbabit di mana kontraknya ditamatkan serta-merta.
Menurutnya, pihak KK Super Mart bukan sahaja prihatin malah melihat insiden itu dengan serius dan tegas mengecam sebarang bentuk kekejaman terhadap haiwan serta tidak bertolak-ansur dengan tindakan sedemikian.
“Kami telah mengambil langkah segera termasuk mengadakan siasatan dalaman di Perak dan ibu pejabat.
“Tindakan sewajarnya telah diambil di mana kakitangan yang bertanggungjawab telah dipanggil semua ke ibu pejabat dan setelah semakan dibuat, dia telah ditamatkan kontrak serta-merta.
“Kami juga telah menghubungi pemilik pusat penjagaan haiwan dan bersedia menanggung kos rawatan perubatan haiwan itu,” katanya. – UTUSAN