KANGAR: Pas satu-satunya parti yang presidennya tidak mengejar jawatan Perdana Menteri berbanding parti lain yang masing-masing mengejar pemimpin nombor satu negara itu.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Pas selama ini tidak pernah kisah sesiapa pun menjadi Perdana Menteri termasuk semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memegang jawatan tersebut.
Katanya, hal demikian yang membezakan Pas dengan parti-parti lain apabila presidennya tidak pernah mengejar kuasa.
“Dari awal dasar perjuangan kita Islam. Tindakan kita berbeza dengan parti lain. Presiden parti lain mengejar jawatan Perdana Menteri, kami tidak seperti itu,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman membidas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor daripada PKR, Najwan Halimi yang mendakwa beliau seperti kurang yakin terhadap kemampuan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk diangkat sebagai Perdana Menteri.
Sebelum itu, Najwan menyindir Syahir dengan mengatakan beliau sepatutnya menamakan Ahli Parlimen Marang itu sebagai tokoh yang mampu memimpin Malaysia sebagai Perdana Menteri kesebelas.
Ini selepas Syahir yang merupakan setiausaha politik kepada Abdul Hadi menyatakan impiannya untuk melihat seorang teknokrat dipilih sebagai Perdana Menteri kesebelas bagi menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Syahir, idea kerajaan pimpinan teknokrat itu dicadangkan Abdul Hadi sendiri sejak 2018 dan beliau sekadar mengulangi cadangan Presiden Pas itu sekali gus menasihati Najwan supaya rajin membuat kerja rumah’ sebelum membuat tuduhan sedemikian.
Hashim berkata, Pas selama ini juga tidak pernah mengumumkan siapa calon Perdana Menteri meskipun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum ini pernah secara terbuka menamakan Muhyiddin.
“Abdul Hadi mempunyai pengalaman cukup luas dan siapa pun daripada Pas menjadi Perdana Menteri andai ditakdir kita menang, perlu merujuk juga kepada beliau (Abdul Hadi),” katanya. – UTUSAN










