Parlimen Bentong perlu peruntukan besar dari Persekutuan

Parlimen Bentong perlu peruntukan besar daripada Persekutuan – Rara

YOUNG Syefura Othman meninjau keadaan banjir dan menyampaikan bantuan awal kepada mangsa banjir di Kampung Karak, Setia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEBIH daripada satu jam juga tempoh masa perjalanan diambil dari Kuala Lumpur ke Bentong, Pahang ketika mengikuti Ahli Parlimen Bentong dari DAP, Young Syefura Othman dalam program bersama rakyat kawasannya baru-baru ini.

Suasana waktu itu sukar dijangka kerana keadaan trafik di hampir sepanjang Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK), sesak dengan ribuan kenderaan menuju ke destinasi sama. Tetapi, apa boleh buat? Itulah akses paling pantas jika ada urusan ke sana.

Lantas, sepanjang masa perjalanan itu, bermulalah perbualan santai antara Mingguan Malaysia dengan Young Syefura berbincang banyak hal.

Soalan pertama saya: “Memang selalu sesak begini ya YB (Yang Berhormat)?”

Bukanlah terlalu naif, tetapi, julung-julung kali pergi ke Bentong sama ada atas urusan kerja atau peribadi. Selalunya, berprogram bersama wakil-wakil rakyat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di ibu negara sahaja. Paling jauh pun sampai Dengkil, Selangor.

Riak wajah bekas ADUN Ketari itu kekal tenang.

Ketenangan wajah satu-satunya wanita Melayu dalam kepemimpinan pusat DAP mungkin menandakan beliau sudah lali dengan keadaan trafik yang teruk seperti itu, apatah lagi jika terpaksa berulang-alik setiap hari dari Kuala Lumpur ke Bentong selepas hadir ke mesyuarat Parlimen.

“Macam yang awak lihatlah sekarang ini. Saya tidak tahulah bila isu kesesakan di KLK ini selesai. Masalah ini macam jadi rutin kepada pengguna jalan raya.

“Belum lagi setiap kali perayaan dan cuti sekolah. Sekarang pula Ramadan dan tidak lama lagi Aidilfitri. Keadaannya, naudzubillah,” katanya.

Mendengar keluhannya itu, saya bertanya lagi: “Apa penyelesaiannya? Sampai bila mahu berdepan situasi begini? YB ada suarakan isu kesesakan ini di Dewan Rakyat?”

“Saya sering bangkitkan keperluan penambahbaikan infra yang memerlukan peruntukan tambahan yang besar dari Kerajaan Persekutuan di Dewan Rakyat seperti isu kesesakan dan keselamatan di KLK.

“Bukan lebuh raya ini sahaja, bahkan isu jalan di Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong, jalan ke Simpang Pelangai. Serta pelbagai lagi isu-isu besar yang memerlukan perhatian pihak Kerajaan Persekutuan,” terangnya.

Pada 22 November tahun lalu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, masalah kesesakan di KLK dijangka diatasi dalam tempoh dua tahun berikutan dua projek utama prasarana siap menjelang 2027.

Katanya, kesesakan yang menjadi isu utama di laluan itu akan dapat diatasi dengan siapnya naik taraf Lebuh Raya KLK dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menjelang hujung tahun 2026.

Katanya, pada akhir 2026, ECRL akan siap dan beroperasi pada 2027 kemudian naik taraf KLK akan siap pada tahun sama.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Young Syefura menang kerusi Parlimen Bentong meraih 25,075 undi (692 undi majoriti) menewaskan empat calon lain termasuk BN diwakili Tan Sri Liow Tiong Lai.

Mengulas berkenaan keperluan pembangunan dan infra rakyat di Parlimen Bentong, kata Young Syefura, komunitinya memerlukan penambahbaikan melibatkan hospital, balai polis, bomba dan klinik kesihatan.

“Penduduk di Bentong semakin bertambah, jalan raya pula semakin sesak dan akan bertambah sesak apabila ECRL siap kelak.

“Tidak cukup dengan itu, isu longkang dan tebing sungai perlu diselenggara untuk mengelakkan berlaku banjir kilat setiap kali hujan lebat,” katanya.

Bercakap tentang cabaran dalam mengurus Parlimen Bentong, katanya, kawasannya terlalu luas meliputi empat DUN iaitu Bilut, Ketari, Sabai dan Pelangai. DUN Pelangai menyaksikan jaraknya dari Bentong mengambil masa satu jam 30 minit.

Katanya, keluasan itu sudah tentu menimbulkan isu sekitar seperti falisiti kesihatan, malah, Bentong juga kawasan kerap terdedah dengan banjir dan tanah runtuh yang membahayakan penduduk.

“Namun, jangan lupa, Bentong sebenarnya sangat istimewa dengan keberadaan pusat peranginan dan eko-pelancongan di sini. Bentong mempunyai pusat peranginan bertaraf antarabangsa seperti Genting Highland dan Colmar Tropicale.

“Selain itu, Bentong juga ada kawasan resort dan perkhemahan yang cantik seperti di Janda Baik. Ramai juga pelancong datang kerana keunikan halia Bentong dan keenakan durian Musang King,” katanya.

Dalam pada itu, Young Syefura berkata, beliau akan meneruskan program-program dalam kategori pendidikan seperti bantuan persekolahan, bantuan komputer riba untuk mahasiswa, bantuan peralatan kesihatan dan perubatan, bantuan kebajikan, perniagaan, peralatan berniaga dan kursus-kursus latihan untuk menambah pendapatan.

“Tidak terkecuali golongan belia yang mana kami banyak memperkasa mereka ini dengan program berfaedah. Saya berharap projek membina Kompleks Sukan pertama di Bentong menjadi kenyataan walaupun masih dalam proses awal dan rundingan.

“Ini kerana Bentong melahirkan ramai atlet berwibawa dan golongan belia dapat melakukan aktiviti sihat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN