KOTA BHARU: Selepas hampir empat bulan ditahan di Penjara Wilayah Narathiwat, Thailand, nasib penyanyi lagu Bea Sobar Bea, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, atau Eda Ezrin, suaminya serta empat lagi rakan mereka diketahui hari ini.
Eda Ezrin, suaminya (Mohd. Affendi Ahmad, 35) dan empat lagi rakan iaitu Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33; Erdieka Mohd. Noor, 33, serta Zuhaira Nasrin, 26, berdepan tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda selepas ditahan di sebuah hotel di Golok 1 November tahun lalu.
Keputusan akan dibuat hakim selepas mendengar keterangan semua tertuduh dan saksi pendakwaan sepanjang prosiding perbicaraan yang berlangsung tiga hari di Mahkamah Wilayan Narathiwat dari 11, 13 dan 14 Februari lalu.
Semasa perbicaraan pada 14 Januari lepas, mereka tidak mengaku bersalah atas tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda di sebuah hotel di Golok selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan sendiri oleh Hakim, Yuan Khao Kham.
Bagaimanapun, Eda Ezrin, suami dan empat lagi rakan mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah.
Selain itu, Erdieka dan Zuhaira turut mengaku bersalah atas dua pertuduhan memasuki Thailand secara haram dan tiada dokumen perjalanan atau pasport sah untuk berada di negara berkenaan.
Semua tertuduh diwakili tiga peguam yang dilantik mereka bagi mengendalikan perbicaraan tersebut.
Eda Ezrin semasa memberi keterangan dengan bantuan jurubahasa bebas yang dilantik mahkamah memberitahu, sebelum polis melakukan serbuan, empat individu dikenali sebagai ‘Nabila’, ‘Mek Jue’, ‘Mek Da’ dan ‘Sirik’ masuk ke dalam biliknya.
Difahamkan, mengikut undang-undang Thailand, memiliki lebih 6,000 pil boleh membawa kepada hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun, serta denda sebanyak 200,000 baht bersamaan RM25,880. – UTUSAN










