PUTRAJAYA: Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merupakan suspek dalam kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).
Senior Asisten Komisioner (SAC) R. Rajagopal berkata, dapatan itu dibuat pada ketika siasatan berhubung dakwaan berlaku pecah amanah jenayah membabitkan dana 1MDB berada di penghujungnya.
“Semasa saya ambil alih siasatan, fokus adalah sama ada berlaku kesalahan dan jika ada, siapa yang melakukannya. Hampir ke penghujungnya, suspek adalah Datuk Seri Najib kerana terdapat aliran wang yang masuk ke dalam akaun Najib,” katanya.
Saksi pembelaan ke-11 itu berkata demikian ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.
Rajagopal merupakan pegawai penyiasat yang menyiasat berhubung dakwaan pecah amanah yang dibuat dalam laporan polis oleh bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
Terdahulu, saksi itu menjelaskan, pada awal siasatan yang bermula pada 2015, hanya saksi-saksi formal dipanggil memberi keterangan manakala rakaman percakapan membabitkan pengurusan 1MDB bermula 2016. Najib mula memberi keterangan pada berhubung skandal penyelewengan itu pada Mei 2018.
Pada 20 September 2018, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan salah guna kedudukan dan 21 pertuduhan membabitkan aktiviti penggubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion.
Terdahulu, keadaan menjadi hangat apabila Ahmad Akram dan Rajagopal bertikan lidah berhubung siasatan yang dijalankan oleh bekas pegawai polis itu.
Ahmad Akram mencadangkan kepada Rajagopal bahawa walaupun beliau telah berkhidmat selama 41 tahun dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM) namun beliau tidak begitu fasih mengenai Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (ASPRM) malah siasatannya juga menjurus kepada kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.
Rajagopal dalam jawapannya menyatakan pihaknya tidak pernah membuka kertas siasatan mengikut ASPRM.
“Tidak ada tetapi sewaktu menjalankan siasatan dan wujud (elemen) berkaitan rasuah, akan buat cadangan (kepada Peguam Negara),” katanya.
Ahmad Akram: Awak jangan marah-marah. Saya hanya menjalankan tugas saya. Kalau awak boleh menjawab kepada Tan Sri Muhammad Shafee dengan baik, kenapa awak tak boleh (jawab dengan baik) dengan saya.
Rajagopal: Saya tak marah, saya sedang menjawab soalan awak.
Ahmad Akram: Saya sedang menjalankan tugas saya, dan saya sedang berpuasa dan bersabar. Jadi jawab soalan saya dengan elok.
Rajagopal: Saya tidak marah.
Perbicaraan yang didengar oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 7 April ini. – UTUSAN