KUALA LUMPUR: Proses pendaftaran mudah dan tidak memerlukan slip gaji merupakan faktor rakyat Malaysia khususnya generasi muda menggunakan perkhidmatan beli sekarang, bayar kemudian atau BNPL untuk membeli barangan dan pelbagai keperluan lain.
Malah kumpulan pelajar dan tidak bekerja serta tiada berpendapatan tetap boleh berhutang secara beli sekarang, bayar kemudian tanpa melalui proses panjang dan membayarnya secara berperingkat dalam tempoh tertentu.
Tinjauan Utusan Malaysia dalam kalangan orang ramai mendapati, kebanyakkan pengguna memilih BNPL kerana mereka dapat melakukan pembayaran secara ansuran serendah RM10 untuk membeli barang keperluan rumah, pakaian, perabot, barangan elektrik dan barangan wanita.
Seorang pengguna, Siti Maisarah Abdul Ghani, 24, berkata, hanya menggunakan kad pengenalan, pendaftaran untuk BNPL dapat diluluskan dalam tempoh 10 minit sekali gus memberi ruang kepadanya untuk mendapat barangan diidamkan.
“Berbanding kad kredit atau pinjaman peribadi, kena beri slip gaji dan penyata pendapatan. Kadangkala sukar lulus, berbanding BNPL yang mudah dan cepat.
“Itu sebab saya memilih kaedah (BNPL) untuk berhutang dan membeli barang dihajati,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, rakyat Malaysia sudah berbelanja sebanyak RM12 billion pada tahun lalu dengan menggunakan kemudahan BNPL.
Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, kerajaan akan menubuhkan Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) bagi mengawal selia perkhidmatan BNPL yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat negara ini.
Beliau berkata, suruhanjaya itu merupakan antara rangka kawal selia BNPL oleh pihak kerajaan menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Kredit Pengguna yang bakal diluluskan Parlimen kelak.
Seorang pengguna lagi, Siti Nureisyah Ahmad Faridi, 24, berkata, BNPL menjadi pilihan kerana lebih fleksibel berbanding kad kredit, memandangkan dia masih menuntut di sebuah universiti tempatan.
Katanya, dia yang berdepan kenaikan kos sara hidup menyebabkan terpaksa berhutang untuk membeli barang keperluan.
“Kalau harga barang itu mahal dan saya perlukan segera, BNPL lebih mudah. Saya masih belajar dan tiada kad kredit, jadi BNPL lebih praktikal untuk saya,” katanya.
Sementara itu, Habsah Maasap, 59, berkata BNPL banyak membantu dalam pembelian barangan keperluan rumah dan barangan wanita yang agak mahal.
“Ada barang yang mahal dan saya tak mampu bayar secara penuh, jadi BNPL memudahkan saya beli barang tanpa perlu keluarkan duit,” katanya.
Menurut Habsah, BNPL sebenarnya tidak murah berbanding bayaran tunai, tetapi ia memberikan pilihan pelan pembayaran bulan yang fleksibel kepada pengguna.
Selain itu, tinjauan mendapati sesetengah perkhidmatan BNPL menawarkan kredit serendah RM100 sehingga RM7,000 yang bergantung kepada penggunaan ditetapkan sekali gus memberi peluang kepada pengguna berbelanja.
Setengah platform BNPL meluluskan permohonan meskipun pengguna tidak mempunyai skor kredit yang baik berbanding dengan kad kredit yang memerlukan memiliki skor yang baik jika ingin menikmati kadar faedah ansuran yang rendah.
Keadaan itu meningkatkan kecenderungan orang ramai untuk membeli pelbagai barangan termasuk barangan yang mungkin tidak perlu keran proses yang ditawarkan mudah dan tidak memerlukan anda untuk membayar secara penuh.
Meskipun tiada duit dalam tangan atau simpanan, ia boleh menyebabkan pengguna berbelanja tanpa berfikir panjang dan mempengaruhi mereka untuk melakukan pembelanjaan tidak wajar.-UTUSAN










