DUNGUN: Minyak masak, santan dan beras tempatan dijamin cukup di negeri ini sempena sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Terengganu, Mohd. Mufsi Lat berkata, sebanyak 1,807 tan metrik minyak masak diedarkan ke seluruh negeri setiap bulan.
“Minyak masak di negeri ini banyak, masyarakat tidak perlu risau. Bagaimanapun, jualannya dihadkan untuk dua unit minyak paket serta satu botol minyak bagi satu keluarga untuk pembelian yang mana jumlah ini mencukupi untuk kegunaan penduduk negeri ini.
“Bagi beras tempatan dan santan, kita tidak mengehadkan pembeliannya dan kesemua barangan ini boleh didapati dicsemua premis termasuk kedai runcit, pasar raya dan pasar basah,” katanya pada majlis pelancaran pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) 2025 yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman, semalam.
Mohd. Mufsi berkata, sebanyak 24 barangandiwartakan dalam SHMMP bermula semalam hingga 7 April ini bagi negeri ini, berbanding hanya 20 barangan pada tahun lalu,” katanya. – UTUSAN