KUALA LUMPUR: Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa tindakan segera bagi membanteras kartel yang menguasai tapak bazar Ramadan yang menindas peniaga kecil.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, masalah ini berulang setiap tahun akibat pengaruh politik, rasuah dan manipulasi sistem penyewaan.
Katanya, kartel ini menyebabkan peniaga kecil terpaksa membayar sewa tinggi atau tersisih sepenuhnya, manakala pengguna pula terbeban dengan harga makanan yang mahal.
“Sepatutnya semua permohonan tapak dilakukan secara dalam talian berdasarkan merit, bukan hubungan politik atau kenalan rapat.
“Senarai penerima lesen juga perlu diumumkan bagi memastikan ketelusan dalam pengagihan tapak bazar bagi atasi perkara ini,” katanya menerusi satu kenyataan.
Semalam, Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPPBWPKL) mengenalpasti empat individu menjadi kartel dalam kegiatan jual beli tapak bazar Ramadan di sekitar ibu negara dengan harga mencecah sehingga RM12,000 untuk satu tapak.
Mendedahkan perkara itu, Presiden PPPBWPKL, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, sehingga kini hampir 30 peratus daripada 216 peniaga tapak bazar Ramadan di lorong Tengku Abdul Rahman (TAR) telah dipindah milik.
Mengulas lanjut, Jais berkata, MCW mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) membatalkan lesen mana-mana individu atau syarikat yang menyewakan semula tapak bazar pada harga tinggi.
“Kerajaan perlu menetapkan kadar maksimum sewa tapak bagi mengelakkan eksploitasi terhadap peniaga kecil.
“Akta Persaingan 2010 juga perlu dikuatkuasakan sepenuhnya bagi menghukum mereka yang terlibat dalam monopoli dan rasuah dalam pengurusan tapak bazar Ramadan,” katanya.
Menurutnya, MCW turut bersedia untuk bekerjasama dengan PBT, media, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam meningkatkan kesedaran serta memberi tekanan kepada pihak berkuasa untuk bertindak lebih tegas terhadap isu ini.
“Pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan kerajaan negeri perlu mengambil langkah segera bagi memastikan keadilan dalam pengagihan tapak bazar,” katanya. – UTUSAN