MBSP rekod 61 kes tambun tanah bendang tanpa permit

MBSP rekod 61 kes tambun tanah bendang tanpa permit

Baderul Amin (kanan) dan Mooi Lye (tiga dari kanan) ketika mengadakan tinjauan ke lokasi tambun tanah tanpa kebenaran di Permatang Ara, Permatang Pauh, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) merekodkan sebanyak 61 kes menambun tanah bendang tanpa permit di tiga daerah di Pulau Pinang, sejak tahun lalu.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Baderul Amin Abdul Hamid berkata, sebanyak 28 kes dicatatkan di daerah Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) (26 kes) dan Seberang Perai Selatan (SPS) (7 kes).

Kata beliau, kebanyakan kawasan bendang yang ditambun tanpa kebenaran membabitkan zon jelapang padi dan ia dikhuatiri boleh menjejaskan pengeluaran makanan setempat.

Katanya, bagi mengesan kegiatan itu pihaknya melakukan penyamaran dan hasilnya sebanyak 28 lori yang menjalankan kerja-kerja tambun tanah berjaya dirampas.

“Memang sukar (untuk menjalankan penguatkuasaan) kerana kehadiran kami seolah-olah dapat dihidu. Ada traktor dan lori meninggalkan kawasan terbabit sebelum serbuan sempat dilakukan.

“Penguatkuasaan akan ditingkatkan selepas ini dan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang ingkar mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133),” katanya di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu meninjau lokasi kejadian di Permatang Ara, Permatang Pauh bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, H’ng Mooi Lye.

Baderul Amin berkata, konflik timbul apabila lot tanah terbabit dipecahkan kepada lot-lot lidi sebelum dijual kepada pembeli yang bertindak membina kediaman persendirian, sedangkan ia tidak dibenarkan.

“Kita benarkan sebuah rumah dibina di atas bendang atau stor penyimpanan, namun, ia mestilah berkaitan dengan pertanian,” katanya memberitahu masalah itu akan dipanjangkan kepada kerajaan.

Sementara itu, Mooi Lye berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kerja tambun tanah yang aktif dijalankan di kawasan terbabit biarpun notis kerja tanah tanpa kebenaran telah dikeluarkan sebanyak dua kali sejak tahun lalu.

“Kertas siasatan juga telah dibuka dan pendakwaan akan dilakukan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) bagi kesalahan menjalankan kerja tanah tanpa kebenaran dan kesalahan menjalankan pemajuan tanpa kebenaran merancang mengikut Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172),” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN