BESUT: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Kampung Gong Jaga, di sini, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Md. Sani Md Saleh berkata, mangsa Abdullah Yamin Abdullah, 25, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Besut.
“Dalam kejadian kira-kira pukul 7.10 petang itu, lelaki terbabit yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR dari arah Alor Lintah ke Kampung Tok Raja dan setibanya di lokasi motosikalnya terbabas sebelum melanggar belakang Perodua Viva.
“Mangsa terjatuh ke laluan bertentangan dan dirempuh sebuah Toyota Avanza yang tidak sempat mengelak daripada mangsa. Kes disiasat di bawah Sekyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – UTUSAN