PETALING JAYA: Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng menegaskan, kedudukannya dalam parti hanya akan ditentukan oleh ahli DAP dan bukannya mana-mana pihak luar termasuk UMNO.
Guan Eng berkata, kedudukannya sebagai pengerusi parti tersebut hanya boleh ditentukan oleh ahli parti sahaja.
“DAP tidak pernah dipimpin oleh UMNO ketika kami berada dalam pembangkang, dan kami juga tidak akan dipimpin oleh UMNO apabila kami berada dalam kerajaan.
“Saya ingin mengingatkan Ahmad Zahid bahawa DAP berada dalam Pakatan Harapan (PH), bukannya dalam Barisan Nasional (BN),” katanya pada Majlis Makan Malam Kelab Veteran Kebangsaan DAP di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini mendakwa bahawa masanya telah berlalu dalam kepimpinan DAP.
Sebelum ini, Ahmad Zahid dilaporkan menggesa Guan Eng supaya tidak merosakkan parti dalam Kerajaan Perpaduan dengan kenyataannya mengenai satu perhimpunan menyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ahmad Zahid ketika itu menegaskan bahawa Guan Eng sepatutnya memberi kepercayaan kepada kepimpinan baharu DAP dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan dalam Kerajaan Perpaduan.
“Masanya telah berlalu dan dia seharusnya mempercayai kepimpinan DAP sekarang daripada ‘mengganggu’ atau merosakkan mana-mana rakan dalam kerajaan,” katanya.
Guan Eng dilaporkan berdepan laluan sukar dengan desas-desus mengenai usaha untuk menyingkirkannya daripada jawatan Pengerusi Kebangsaan DAP menjelang Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP) minggu depan.
Bagaimanapun, Guan Eng berkata, walaupun ramai pemimpin veteran DAP telah bersara, mereka masih boleh memainkan peranan penting sebagai suara hati nurani parti.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ahli veteran kerana tidak pernah berputus asa dengan DAP.
“Kerana anda tidak pernah berputus asa dengan DAP, Malaysia dapat berharap untuk masa depan yang lebih baik,” katanya.








