JEMPOL: Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, G. Manivanan menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Cabang PKR Jempol dalam pemilhan parti itu bulan hadapan.
Setiausaha Politik Pejabat Presiden PKR itu berkata, keputusan yang dibuatnya itu bertujuan menguatkan kembali Cabang Jempol sekali gus menguatkan PKR di peringkat Negeri Sembilan.
“Saya rasakan Cabang Jempol ini memerlukan suntikan kepemimpinan yang baharu. Bagi pemilihan kali ini, saya berdepan pertembungan empat penjuru.
“Saya mempunyai pengalaman berhijrah setiap pemilihan dari Subang ke Kapar ke Bagan Datuk ke Petaling Jaya, jadi saya ambil peluang hadir (bertanding) di Jempol supaya dapat memantapkan dan memperkasakan kepemimpinan di Jempol ini.
“Lebih daripada itu, ini adalah negeri pentadbiran PKR diterajui Datuk Seri Aminuddin Harun iaitu Menteri Besar dari PKR. Saya rasa sudah tiba masanya saya hadir dan membantu beliau (Aminuddin),” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Bahau di sini semalam.
Bekas Ahli Parlimen Kapar tersebut dalam pada itu memberitahu, belum membuat keputusan untuk bertanding bagi jawatan tertentu di peringkat Pusat parti.
“Saya mesti bertanding cuma sahaja jawatan belum pasti tetapi bukanlah jawatan presiden atau timbalan presiden,” katanya yang bertanding bagi jawatan Naib Presiden dalam pemilihan PKR yang lalu.-UTUSAN