JOHOR BAHRU: Mangsa banjir di enam daerah negeri ini, memerlukan tempoh sehingga enam bulan untuk kembali kepada kehidupan normal seperti sebelum bencana.
Ibu tunggal, Safiah Abdul Kahar, 63, berkata, kejadian banjir minggu lalu merupakan pengalaman pertamanya setelah menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara, di sini sejak 16 tahun lalu.
Menurutnya, dia antara mangsa terkesan teruk kerana kediamannya berada di tingkat bawah.
“Saya jika boleh tidak mahu imbau kejadian tersebut. Semua barang di rumah termasuk kelengkapan dibeli arwah suami rosak dan musnah.
“Memang sedih kerana barangan itu adalah kenangan hidup saya bersama suami, saya kecewa kerana gagal menyelamatkan barang-barang itu disebabkan air naik dengan mendadak.
“Saya juga tidak mungkin boleh membeli kelengkapan sama kerana di luar kemampuan, sedangkan makanan keperluan pun terpaksa berjimat ketika ini,” katanya ditemui pemberita di Majlis Sambutan Aidilfitri Econsave yang diadakan di Taman Daya, di sini petang semalam.
Tambah Safiah, menjelang Hari Raya Aidilfitri pula, dia tidak membuat sebarang persiapan kerana kediamannya masih belum dibersihkan sepenuhnya.
“Apapun saya tetap bersyukur kepada pihak Econsave yang menyumbangkan baucar untuk kami membuat pembelian barangan keperluan harian.
“Suami saya telah meninggal dunia enam tahun lepas. Dia merupakan bekas kakitangan kerajaan dan saya ketika ini bergantung sepenuhnya kepada wang pencennya untuk meneruskan hidup,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam berharap, sumbangan tersebut dapat meringankan beban penerima yang merupakan golongan asnaf.
“Ada antara mereka seperti jatuh ditimpa tangga kerana bukan saja menanggung pelbagai ujian atas faktor kesihatan dan kewangan, kediaman pula dilanda banjir. Semoga Allah beri kekuatan untuk mereka baiki semula kehidupan,” katanya. – UTUSAN