BUKIT MERTAJAM : Pemandu lori kontena yang berani memandu dalam keadaan salah sebuah tayarnya pecah ditahan dalam satu operasi khas sempena Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025 di Plaza Tol Juru arah Utara di sini, semalam..
Bukan itu sahaja, ujian saringan awal yang dilakukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) turut mendapati bahawa lelaki warga tempatan berusia 45 tahun itu juga positif dadah.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Zulkifly Ismail berkata, pemeriksaan awal mendapati, bahagian belakang tayar kiri lori terbabit pecah, namun, pemandunya tetap bertindak meneruskan perjalanan.
Katanya, lelaki terbabit dalam perjalanan dari Taiping, Perak ke Perai dan semasa pemeriksaan dilakukan, pemandu tersebut kelihatan berada dalam keadaan separa sedar sebelum pihak AADK mengarahkannya untuk melakukan ujian air kencing.
“Lelaki terbabit ditahan untuk tindakan lanjut dan kita akan menjalankan siasatan untuk mengenal pasti sama ada lori itu menggunakan tayar celup yang mempunyai pengiktirafan daripada SIRIM atau sebaliknya.
“Ia susulan tanda (pelekat) SIRIM terbabit agak meragukan. Maka, kita akan ambil tindakan penguatkuasaan yang tegas supaya para pemandu khususnya kenderaan berat tidak merisikokan nyawa pengguna jalan raya yang lain.
“Untuk pengetahuan, tayar pecah boleh menyebabkan berlakunya kegagalan brek sekaligus mengakibatkan kemalangan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya juga akan menumpukan penguatkuasaan di kawasan panas yang kerap berlakunya kemalangan ketika ini, antaranya alan Butterworth-Sungai Dua-Sungai Petani; Jalan Baru Perai-Bukit Mertajam-Seberang Jaya; laluan Jalan Permatang Tinggi-Jalan Simpang Ampat-Jalan Bandar Cassia; Jalan Butterworth ke Taiping dan laluan Lebuhraya Dr Lim Chong Eu. – UTUSAN