Lebuhraya Bertingkat JSD: Kerja fizikal bermula suku keempat 2025

Lebuhraya Bertingkat JSD: Kerja fizikal bermula suku keempat 2025

ZAIRIL Khir Johari (dua dari kanan) menunjukkan pelan projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua (JSD) ketika sidang akhbar di George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kerja-kerja fizikal bagi pembinaan Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua (JSD) akan bermula pada suku keempat tahun ini dengan kos dijangka kurang daripada RM3 bilion.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, projek itu dijangka mengambil masa selama lima tahun dan akan siap menjelang 2030.

Katanya, dengan adanya Lebuhraya Bertingkat JSD, kesesakan teruk di jajaran antara Tol Juru dan Tol Sungai Dua, termasuk beberapa persimpangan utama seperti Jambatan Pulau Pinang, Perai, Permatang Pauh dan Sungai Dua dapat dikurangkan.

“Lebuh raya sepanjang 17.4 kilometer (km) itu akan mempunyai jajaran bertingkat sejauh 9 km serta lapan fasa pembangunan. Ia juga akan merangkumi persimpangan tanpa lampu isyarat dan dua pusingan U bertingkat bagi melancarkan aliran trafik,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Lebuh raya berkenaan merupakan antara beberapa inisiatif utama untuk Pulau Pinang yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025 pada 18 Oktober tahun lepas selain Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) serta projek Taman Perindustrian Batu Kawan 3.

Dalam pada itu, Zairil berkata, kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) serta pihak berkaitan bagi memastikan projek itu berjalan lancar tanpa sebarang masalah besar.

Zairil berkata, satu bengkel Penilaian Nilai (Value Assessment) telah diadakan pada 24 hingga 27 Februari lalu, melibatkan KKR, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), PLUS serta agensi kerajaan negeri seperti Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

“Hasil bengkel ini, pihak KKR dan PLUS bersetuju untuk memulakan kerja-kerja fizikal pada suku keempat tahun ini. Jumlah kos sebenar akan dimuktamadkan, tetapi ia dijangka lebih rendah daripada RM3 bilion seperti yang diumumkan sebelum ini,” katanya.

Jelas beliau, selain pembinaan lebuh raya, beberapa persimpangan kritikal turut akan dinaik taraf, termasuk Persimpangan Bertingkat Juru Utara (Autocity), Persimpangan Jambatan Pulau Pinang dan Susur Jalan Baru, serta tambahan jejambat dari Jalan Tun Hussein Onn ke Lebuhraya Utara-Selatan (NSE).

“Konsep lebuh raya ini akan memisahkan trafik tempatan dengan trafik aliran terus, seperti yang dilaksanakan di Ipoh, Perak,” katanya menambah, projek melibatkan pelaksanaan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) bagi mengurangkan impak kepada pengguna jalan raya sepanjang tempoh pembinaan.

Tambah Zairil, perbincangan lanjut akan dilakukan dengan semua pihak terlibat sebelum ia dimuktamadkan dan kerajaan negeri komited memastikan projek berjalan lancar demi kepentingan rakyat Pulau Pinang.

“Sebarang perkembangan terkini mengenai projek akan diumumkan dari semasa ke semasa, dengan perincian akhir dijangka dimuktamadkan dalam tempoh enam bulan akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN