PETALING JAYA: Seramai 200 pelajar tahfiz dan 80 anak yatim dari lima pusat tahfiz serta rumah anak yatim sekitar Selangor diraikan dalam Majlis Berbuka Puasa anjuran DMS Motors.
Ketua Pegawai Eksekutif DMS Motors, Datuk Mohamad Salim Abd. Rahman berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu diadakan bagi meraih keberkatan Ramadan serta mengeratkan ukhuwah.
“Majlis ini bertujuan mengeratkan hubungan antara kakitangan syarikat dengan masyarakat luar, khususnya golongan memerlukan.
“Saya berbesar hati dapat berkongsi kegembiraan dengan anak-anak ini dan berharap program sebegini memberi keceriaan kepada mereka di bulan mulia ini,” katanya.
Majlis ‘Raikan Ramadan 2025’ itu turut memberi peluang kepada peserta bertadarus, memimpin bacaan doa dan menyampaikan tazkirah.
Pada majlis itu, Mohamad Salim menyampaikan sumbangan duit raya, baju raya dan barangan keperluan bernilai hampir RM50,000 kepada semua pelajar tahfiz serta anak yatim. – UTUSAN