PETALING JAYA: Kementerian Komunikasi menawarkan Insentif Rebat Bil Telefon Rahmah secara sekali bayar kepada lebih 127,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara.
Insentif itu termasuk kepada anggota beruniform dan kakitangan awam yang berkhidmat dengan PDRM sempena sambutan Hari Polis ke-218.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, insentif tersebut merupakan hasil kerjasama dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan bertujuan meringankan beban anggota PDRM sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan mereka dalam menjaga keselamatan negara.
“Anggota PDRM yang melanggan pelan pascabayar (postpaid) akan menikmati rebat dalam bentuk tanggungan pembayaran bil selama satu bulan sama ada pada bulan April, Mei atau Jun bergantung kepada tarikh kitaran bil masing-masing.
“Bagi pelanggan prabayar (prepaid) pula, mereka akan menerima tambahan nilai minimum RM30 secara sekali bayar.
“Kaedah pemberian rebat ini berbeza mengikut syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fahmi berkata, pemberian insentif itu disokong oleh lapan syarikat telekomunikasi utama iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech, YTL Communications, Tune Talk, redONE dan XOX Com.
“Inisiatif ini selaras dengan komitmen Kerajaan Madani dalam mengiktiraf jasa serta dedikasi pasukan PDRM dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan keselamatan negara terpelihara.
“Maklumat lanjut mengenai insentif ini akan diumumkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi masing-masing,” katanya. – UTUSAN