PETALING JAYA: Program Repatriasi Migran bagi penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) perlu diteruskan dan dilaksanakan sepanjang tahun.
Dekan Sekolah Pengajian Siswazah Kerajaan, Undang-undang dan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Rusdi Omar berkata, program itu tidak wajar bersifat sementara dalam usaha memastikan semua PATI dapat dihantar pulang ke negara asal.
Bagaimanapun katanya, semua PATI perlu dikenakan tindakan lebih tegas terlebih dahulu sebelum dihantar pulang sekiranya program berkenaan dibuat sepanjang tahun.
“Sepatutnya kalau mereka langgar peraturan sesebuah negara mereka perlu dikenakan hukuman tegas. Selepas itu barulah mereka dihantar pulang.
“Ia penting sebagai pengajaran dan sebagai lambang kedaulatan undang-undang di negara ini. Jangan nampakkan sangat kita terlalu berlembut hati ,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaban berkata, sejumlah 246,732 PATI menyertai Program Repatriasi Migran tampil secara sukarela kepada Jabatan Imigresen (JIM) untuk pulang ke negara asal.
Program berkenaan bertujuan memberi peluang kepada mana-mana PATI yang melakukan kesalahan imigresen tertentu pulang ke negara asal dengan menawarkan kompaun lebih rendah.
Dalam pada itu, Rusdi berkata, masalah PATI ini tak akan selesai jika kerajaan tidak tegas dalam menguatkuasakan peraturan sedia ada.
“Lagi ramai PATI yang akan tinggal di Malaysia kalau peraturan yang dibuat itu dilihat boleh berkompromi dengan mereka.
“Masalah PATI ini tidak akan selesai kalau kerajaan tidak tegas dalam penguatkuasaan peraturan yang ada,” jelasnya. – UTUSAN










