PUTRAJAYA: Tindakan seorang guru yang didakwa menyuruh pelajarnya ‘pulang ke China’ kerana kurang fasih berbahasa Melayu sedang disiasat Kementerian Pendidikan (KPM).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, perkara berkenaan diteliti KPM secara mendalam, di samping siasatan yang dijalankan pihak polis.
Katanya, beliau tidak akan membiarkan perkara itu berlaku di peringkat sekolah di bawah seliaan KPM sama ada membabitkan guru, murid dan pegawai.
“Kita tidak kompromi dalam soal ini. Siasatan sudah pun berlangsung dan tindakan akan kita lakukan berdasarkan pada siasatan tersebut,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Hari Raya Sekolah-Sekolah Rendah di AEON BiG Alamanda Putrajaya, semalam.
Sebelum ini, tular klip audio seorang guru didakwa memberitahu seorang pelajar sekolah menengah supaya ‘boleh balik ke China’ kerana tidak memahami bahasa Melayu.
Dalam klip audio itu, seorang lelaki mendakwa saudara kepada pelajar terbabit meminta guru itu mengesahkan melalui telefon sama ada dia memberitahu mangsa ‘boleh balik ke China’.
Guru berkenaan kemudian mengakui berbuat demikian. Guru itu juga didakwa melabelkan pelajar terbabit ‘bodoh’ dan menyuruhnya duduk dekat tong sampah.
Pada perkembangan lain, Fadhlina berkata, KPM sedang mengumpulkan maklumat berkenaan sekolah yang kini terkesan akibat banjir bagi menyelaras usaha membaik pulih.
“Kita akan terus memastikan bahawa sekolah-sekolah kita ini mendapat bantuan penyelenggaraan dengan segera supaya suasana kondusif dapat kita laksanakan untuk pembelajaran anak-anak,” katanya.
Fadhlina berkata RM26.4 juta diperuntukkan bagi membaik pulih sekolah di Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak yang rosak akibat banjir pada Disember hingga Januari lalu.
Pada majlis sama, Fadhlina menyampaikan bantuan Hari Raya kepada 320 murid sekolah bagi meringankan beban keluarga mereka menyambut Aidilfitri.
Setiap murid menerima kad hadiah atau baucar membeli-belah bernilai RM100 serta pek sagu hati sumbangan beberapa syarikat swasta yang diselaraskan Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya.










