KKM sedia pertimbang semakan elaun jururawat

KKM sedia pertimbang semakan elaun jururawat

DR. Dzulkefly Ahmad melawat pameran selepas melancarkan Hari Pembantu Perubatan Ke-14 Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersedia untuk mempertimbangkan cadangan menyemak semula semua elaun jururawat bagi memastikan kebajikan golongan itu terus terpelihara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang halangan untuk meneliti cadangan tersebut dan akan memastikan ia dikaji secara adil serta menyeluruh.

“Berkaitan soalan mengenai elaun, saya berpendapat bahawa tiada halangan untuk mempertimbangkannya. Perkara ini pasti akan dikaji dengan teliti dan adil, dan saya yakin ia akan diberikan pertimbangan yang sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas melancarkan Sambutan Hari Pembantu Perubatan Ke-14 Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Hospital Tunku Azizah, di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Kesatuan Jururawat Malaya (MNU) menggesa kerajaan menyemak semula semua elaun jururawat, termasuk elaun wilayah RM1,000 sebulan bagi yang berkhidmat di luar negeri asal.

Presidennya, Saaidah Athman berkata, ia mengambil kira tekanan ‘berlebihan’ mungkin dihadapi jururawat di luar negeri akibat berjauhan dengan keluarga, selain bebanan kerja dan kenaikan kos sara hidup.

Sementara itu, Dzulkefly berkata, KKM akan menyemak dakwaan mengenai perbezaan caj rawatan bagi pesakit yang membayar insurans berbanding pesakit biasa sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Beliau berkata, beliau tidak dapat memberikan jawapan mengenai isu itu kerana ia memerlukan kajian berdasarkan bukti dan data yang tepat.

“Saya perlu merujuk kepada pegawai KKM serta penyelidik yang terlibat untuk menentukan sama ada benar wujud perbezaan harga bagi pesakit yang menggunakan insurans,” katanya.

“KKM sentiasa berpegang kepada prinsip keputusan berasaskan bukti (evidence-based) dan melihat sesuatu isu dari semua sudut sebelum membuat sebarang kenyataan.

“Oleh itu, saya memerlukan masa untuk mengesahkan dakwaan tersebut. Jika Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) menyatakan tiada perbezaan harga, saya mengambil maklum perkara itu. Namun, saya tidak dapat mengesahkan sama ada ia benar atau tidak tanpa penelitian lanjut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN