“Walaupun kawasan Parlimen Pendang ada peningkatan dari segi infra rakyat, hakikatnya, masih ramai rakyat di sini berstatus di bawah B40 (golongan berpendapatan rendah) dan sukar menyara kehidupan seharian. Lagi pula, Pendang kawasan pedalaman.”
Itu luahan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim ketika wartawan Mingguan Malaysia bertanya tentang keadaan penduduk dalam kawasannya.

Sebagai wakil rakyat, sudah tentulah Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu prihatin dan bimbang. Sampai bila rakyatnya hidup dalam keadaan serba-serbi kekurangan?
Pendapatan rakyat pula tidak menentu setiap bulan kerana tiada jaminan pekerjaan, malah ada yang sukar meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi akibat masalah sokongan kewangan.
Dalam keadaan tersebut, bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia zaman Perikatan Nasional (PN) itu bertekad mahu mengubah taraf hidup rakyatnya supaya menjadi lebih baik daripada sekarang dan ia perlu bermula dengan pendidikan serta bantuan kerajaan Persekutuan dan negeri.
“Meskipun sekarang ada penambahbaikan, namun, kami masih perlukan infra yang sempurna.
“Ramai penduduk di sini bawah B40 dan menoreh getah serta tanam padi sebagai rutin utama. Mereka tidak mampu.
“Anak-anak yang mahu sambung pengajian di universiti pula perlukan dana, tetapi sekarang, mahu belajar pula kos tinggi. Saya harap kerajaan bantulah apa sahaja untuk memastikan tiada golongan rentan dan tercicir daripada manfaat menyeluruh” katanya.
Awang Solahuddin menang dengan undi majoriti 31,289 (49,008 undi) menewaskan tiga calon lain untuk kerusi Parlimen Pendang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022.

Mengulas lanjut, katanya, cabaran semakin getir kerana kerajaan tidak memberi peruntukan khusus untuk perbelanjaan dan pembangunan kawasannya.
Menurutnya, beliau hanya menggunakan elaunnya sebanyak RM25,000 untuk beberapa keutamaan seperti gaji kakitangan dan bantuan berupa bakul makanan setiap bulan yang rakyat mohon di Pusat Khidmat Wakil Rakyat parlimennya.
“Mana yang saya boleh urus ini, saya uruslah. Paling tidak saya hanya sediakan bakul makanan antara 100 hingga 200 beg.
“Perdana menteri sebelum ini pun keluarkan kenyataan tiada syarat untuk mendapatkan peruntukan ahli Parlimen. Untuk pengetahuan, elaun mesyuarat Parlimen pada tahun lalu pun saya belum terima lagi,” katanya.
Pada 8 Mac lalu, media melaporkan, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bakal menerima peruntukan untuk kawasannya berikutan kesediaan kerajaan mempertimbangkan permohonannya itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, secara prinsipnya, Syed Saddiq bersetuju dengan beberapa syarat yang kerajaan tetapkan sebelum ini.
Media sebelum ini turut melaporkan, Fadillah menggesa Ahli Parlimen pembangkang mengemukakan cadangan terlebih dahulu bagi membolehkan jawatankuasa pengagihan peruntukan ditubuhkan.
PN sebelum ini menolak draf memorandum persefahaman (MoU) daripada kerajaan berhubung isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang kerana mendakwa ia bercanggah dengan Perlembagaan, nilai budaya, moral dan agama, boleh disalah tafsir, salah guna kuasa dan mengongkong kebebasan.-IUTUSAN











