PERTEMUAN empat mata dengan Ahli Parlimen Lahad Datu dari Parti Warisan (Warisan), Datuk Mohammad Yusof Apdal membuka jalan kepada perkongsian bermakna tentang keperluan rakyatnya, ketika mengikuti beliau dalam program santuni rakyat baru-baru ini.
Hanya satu soalan mengenai potensi pembangunan, adik kepada Presiden Warisan, Datuk Mohd. Shafie Apdal itu menghurai bagaimana Lahad Datu meliputi kawasan seluas 6,488 km dengan populasi 300,000 orang, merupakan pusat penting dalam pelbagai sektor seperti perladangan, perikanan dan eko pelancongan.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu berkata, penduduk terdiri daripada pelbagai etnik seperti Bajau, Bugis, Suluk, Dusun, Idahan, Murut dan komuniti Cina melakar kanvas Lahad Datu sebagai kawasan Parlimen di Pantai Timur Sabah bersatu dalam kepelbagaian.
Bagaimanapun, beliau sedar, meskipun Lahad Datu kaya dengan sumber alam semula jadi dan berpotensi besar dalam perkembangan ekonomi dan sosial, namun, daerah itu memerlukan pembangunan dan kemudahan asas seperti jalan raya yang baik, pengangkutan lebih baik, bekalan air bersih dan cukup serta akses elektrik yang stabil.
Katanya, jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar masih ketara menyaksikan kawasan pedalaman masih kurang kemudahan asas, menyebabkan rakyat kecilnya berhijrah ke bandar mencari peluang pekerjaan.
“Sistem kesihatan juga perlu dipertingkat dengan menambah kemudahan kesihatan di kawasan pedalaman dan luar bandar yang masih jauh dari hospital dan klinik yang lengkap.
“Maka, keperluan mendesak sekarang menarik taraf Klinik Kesihatan Lahad Datu yang semakin uzur, naik taraf hospital dengan kelengkapan perubatan dan doktor pakar, penubuhan balai bomba di kawasan jauh seperti Tungku dan pembukaan kembali Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sana bagi membolehkan urusan berkaitan dilakukan tanpa perlu ke bandar.
“Selain kemudahan pengangkutan yang lebih baik bagi memudahkan penduduk menjalankan aktiviti ekonomi, kerajaan perlu menaik taraf dengan membesarkan Lapangan Terbang Lahad Datu dan pelabuhan bagi merancakkan pembangunan terutama sektor pelancongan,” katanya.
Katanya, kestabilan ekonomi seperti naik turun harga komoditi memberi kesan besar terhadap ekonomi tempatan kerana kebergantungan Lahad Datu kepada sektor tradisional seperti perladangan kelapa sawit dan perikanan sekaligus menuntut daerah itu mencari cara menjadikan sektor seperti biojisim, petrokimia dan pelancongan geologi sebagai komponen utama dalam pembangunan ekonomi kawasan ini.
“Lahad Datu bergantung kepada perladangan dan perikanan, namun, ia perlu dipelbagai untuk mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber ekonomi. Pembangunan industri hiliran berasaskan kelapa sawit, biojisim dan produk makanan laut penting untuk meningkatkan nilai tambah sektor ini.
“Pembangunan zon perindustrian dan pelaburan dalam sektor pemprosesan produk pertanian dan perikatan harus diutamakan supaya penduduk tempatan menikmati peluang pekerjaan lebih stabil dan berpendapatan tinggi,” katanya.
POTENSI
Menurut beliau, Lahad Datu berupaya berkembang dalam bidang pemprosesan sawit, biojisim dan petrokimia, menyaksikan Pelabuhan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) berpotensi menjadi pusat utama pengeluaran produk berasas sawit seperti oleokimia, nutraseutikal, plastik bio, biofuel dan kosmetik.
Di bawah inisiatif kementeriannya, beliau membuka satu hab reka cipta, teknologi dan inovasi dinamakan Ruang Daya Cipta (RDC) di Kolej Vokasional Lahad Datu bulan depan yang menawarkan pembelajaran, latihan dan bantuan teknikal dilengkapi peralatan dan aplikasi teknologi Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE).
“Ini khusus untuk komuniti luar bandar yang menjurus kepada aktiviti inovasi dan daya cipta. Kemudahan di RDC menggabungkan elemen automasi dan pembengkelan seperti bengkel mesin, kraf tangan dan peralatan mini studio yang bertujuan memenuhi keperluan B40 dan terpinggir serta kurang mendapat akses teknologi untuk bersedia menghadapi era pendigitalan,” katanya.
Katanya, melihat kawasannya yang kaya dengan keindahan alam semula jadi seperti Taman Negara Lembah Danum, Gua Madai dan Blue Hole, Teluk Darvel, pemeliharaan alam sekitar adalah cabaran tidak boleh dipandang ringan kerana pembangunan tidak terkawal boleh menjejaskan ekosistem.
“Begitu juga dengan masalah kebersihan dan isu perbandaran yang masih tidak diurus dengan baik,” katanya.
Tambahnya, kawasannya juga tidak terlepas daripada isu keselamatan kerana Lahad Datu yang bersempadan dengan Laut Sulu menyaksikan daerah itu berdepan masalah Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang serius.
“Kawalan keselamatan lebih mantap perlu dilakukan tanpa menjejaskan aktiviti ekonomi yang bergantung kepada tenaga kerja asing. Penting untuk kerajaan menyeimbangkan keselamatan dengan pertumbuhan ekonomi,” katanya. – UTUSAN










