Kem Anthony Loke ke hadapan pemilihan CEC DAP

Kem Anthony Loke ke hadapan pemilihan CEC DAP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP kali ini dijangka menjadi pertembungan sengit antara dua blok utama dalam parti iaitu kem Setiausaha Agung, Anthony Loke Siew Fook yang membawa pendekatan baharu dan kem yang masih berpegang kepada legasi veteran parti, Tan Sri Lim Kit Siang.

Pemilihan kali ini juga bakal menjadi indikator sejauh mana DAP telah bergerak keluar daripada bayangan ‘Dinasti Lim’, yang sekian lama menguasai kepimpinan parti.

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, sentimen dalaman parti menunjukkan kelebihan berpihak kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang diterima baik oleh generasi muda dan golongan profesional dalam DAP.

Beliau berkata, kepimpinan Anthony Loke diterima baik oleh generasi muda dalam DAP, termasuk golongan profesional yang cenderung kepada pendekatan lebih pragmatik.

“Kepimpinan Loke lebih pragmatik dan menampilkan imej baharu yang lebih selari dengan realiti politik semasa. 

“Namun, pengaruh kem yang setia kepada Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng dalam kelompok Kit Siang masih kuat dalam kalangan pemimpin tradisional DAP,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Pemilihan 30 anggota CEC DAP yang berlangsung hari ini dijangka sengit, dengan penyertaan pemimpin senior dan muda termasuk mereka yang memegang jawatan menteri serta timbalan menteri.

Persaingan itu turut bertambah lebih mencabar apabila daripada 70 calon yang bertanding, majoritinya terdiri daripada Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negara, Exco Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri sekali gus menghangatkan perebutan jawatan kali ini.

Dalam pada itu, penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan pula berkata, salah satu faktor utama dalam pemilihan kali ini ialah pendekatan kepimpinan DAP terhadap UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.

“Loke lebih diplomatik dan pragmatik dalam mendepani UMNO, tidak terlalu konfrontatif. Berbeza dengan Guan Eng yang lebih agresif.

“Pemilihan kepimpinan kali ini bukan sekadar pertembungan ideologi dalaman, tetapi menentukan bagaimana DAP akan terus beroperasi dalam Kerajaan Perpaduan

“Seperti UMNO yang bergelut dengan hubungan bersama DAP, DAP juga perlu menyesuaikan pendekatan terhadap UMNO. Ini akan menjadi pertimbangan utama dalam pemilihan kepimpinan kali ini,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×