BUTTERWORTH : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya merampas 28,780 kilogram (kg) mercun dan bunga api yang dianggarkan bernilai RM360,767.50 menerusi satu serbuan di sebuah gudang dekat Perai di sini, 11 Mac lalu.
Pengarah Kastam negeri, Rohaizad Ali berkata, hasil pemeriksaan menemukan tujuh kontena berisi 1,332 karton mercun dan bunga api yang tidak mematuhi spesifikasi serta garis panduan yang ditetapkan dalam permit import (AP) oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Mercun dan bunga api ini dipercayai diimport melalui Pelabuhan Klang, Selangor sebelum dibawa ke sini.
“Seorang lelaki warga emas berusia 60-an yang berada di lokasi ketika serbuan dilakukan turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Dianggarkan, kesemua barang kes ini bernilai RM599,189.63 termasuk cukai,” katanya dalam sidang akhbar di Stor Penguatkuasaan Bagan Jermal di sini, hari ini.
Rohaizad berkata, dagangan berkenaan dikawal ketat dengan perlu mematuhi Butiran 46, Bahagian 1, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
“Kes ini masih dalam siasatan dan kemungkinan besar bekalan bunga api dan mercun ini akan dijual menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya. – UTUSAN