IPOH: Sebanyak 7,282 barangan elektrik tanpa permit bernilai RM581,850 dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak dalam dua serbuan berasingan di Pusat Pemeriksaan Kastam (ICIC) di Pelabuhan Klang, Selangor baru-baru ini.
Pemangku Pengarah JKDM Perak, Suzana Sarif berkata, serbuan pada 27 Januari lalu oleh Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Ipoh menemukan sebuah kontena berisi 3,954 unit periuk nasi elektrik pelbagai jenama bernilai RM193,650 dengan anggaran duti atau cukai sebanyak RM61,968.
Katanya, serbuan di lokasi sama pada 6 Februari lalu pula menjumpai 3,328 unit pengisar dianggarkan bernilai RM388,200 dengan jumlah duti atau cukai sebanyak RM124,224.
“Semakan terhadap dua barangan elektrik itu mendapati ia diimport tanpa perakuan kelulusan daripada Suruhanjaya Tenaga seperti mana kehendak Perintah Duti Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023
“Malah, kedua-dua barang berkenaan diikrar dengan pengikraran tidak benar seperti periuk elektrik sebagai ‘hot plate’ manakala pengisar makanan pula sebagai ‘hand mixer,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, tindakan syarikat tersebut membuat pengikraran palsu adalah bertujuan mengaburi pihak berkuasa selain mengelak daripada dikenakan syarat permit import.
“Syarikat yang berpangkalan di Selangor ini merupakan entiti dalam industri elektronik dan kali pertama dikesan melakukan kesalahan berkaitan pengimportan tanpa permit yang sah.
“Mereka mungkin cuba mengelak daripada membayar cukai atau mengurangkan kos dengan tidak melalui proses yang ditetapkan. Bagaimanapun, perbuatan ini jelas melanggar Akta Kastam 1967,” tambahnya.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda antara 10 hingga 20 kali ganda nilai barang atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – UTUSAN