GEORGE TOWN: Siapa sangka pada usia emas, Nariah Ahmad atau lebih dikenali sebagai Kakcikyah kini menjadi salah seorang daripada pempengaruh yang mempunyai ratusan ribu pengikut di aplikasi TikTok.
Turut dikenali sebagai ‘nenek online’ dalam kalangan pengguna dalam talian, celoteh Kakcikyah yang bersahaja menarik minat orang ramai termasuk golongan muda untuk mengikuti akaun TikTok wanita ini.
Bermula dengan hobi merakam video masakannya sendiri, Nariah, 74, yang juga pernah digelar Makcik Karipap itu kini mempunyai sekitar 188,300 pengikut di TikTok dan sering mendapat pelbagai tawaran untuk membuat ulasan produk.
Nariah yang berasal dari Mata Ayer, Perlis berkata, perjalanan karier baharunya sebagai pempengaruh bermula pada pertengahan tahun lepas apabila dia memuat naik resipi kerabu mangga Thailand di akaun media sosial miliknya.
“Saya pun tak sangka orang ramai suka dengan celoteh saya ketika memasak. Video resipi kerabu mangga ini sebagai contoh telah dilihat oleh lebih sejuta pengguna. Semuanya adalah untuk mengisi masa lapang saya.
“Saya memang minat memasak dan merakam video. Jadi, saya buat sendiri sahaja. Dari tak tahu guna telefon, sekarang, saya sudah pandai rakam dan balas komen,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Melayu di sini.
Dalam pada itu, Nariah sempat menitipkan pesanan kepada warga emas yang seusia dengannya agar tidak takut untuk mencuba sesuatu yang baharu.
“Kita (warga emas) jangan duduk saja, buat perkara yang berfaedah. Seronok bila kita ada aktiviti baharu ini,” katanya.-UTUSAN










