KUALA LUMPUR: Seorang jurukimpal dipenjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi hari ini atas 16 pertuduhan mengendalikan harta pengganas Daesh, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas tertuduh, Rosdy Benjamin, 45, mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.
Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin berkata, kesalahan yang dilakukan adalah serius dan memerlukan hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Dalam penghakimannya, Hakim Muhammad Jamil berkata, kesalahan yang dilakukan adalah serius dan memerlukan hukuman setimpal sebagai pengajaran.
“Saya juga mengambil kira pengakuan salah kamu. Pengakuan salah kamu sememangnya menjimatkan masa semua pihak. Saya juga mengambil kira kamu kesalahan pertama,” katanya.
Mengikut 15 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya, Rosdy didakwa mengendalikan secara tidak langsung harta dua lelaki dipercayai pengganas, Mohd. Najib Husen dan Dr. Mahmud Ahmad dengan membuat deposit sebanyak RM63,450 dan pengeluaran sebanyak RM63,801 melalui 15 transaksi membabitkan akaun bank miliknya bagi manfaat dua individu itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara 25 Febuari 2015 dan 3 Jun 2016 di Pusat Perdagangan Pasir Gudang Branch, Pasir Gudang, Johor di sini.
Tertuduh didakwa di bawah seksyen 130Q(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara lebih 20 tahun atau dengan denda dan bolehlah juga dirampas apa-apa harta yang dikendalikan bagi kesalahan itu.
Rosdy turut didakwa memiliki dua video yang berkaitan dengan kumpulan pengganas di telefon bimbit miliknya di Taman Scientex, Johor Bahru.
Tertuduh dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun keseksaan yang boleh dihukum di bawah subseksyen 130JB(1) akta sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Mariam Jamielah Ab Manaff mencadangkan hukuman yang setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana kesalahan melibatkan keselamatan awam dan bagi memberikan pengajaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi kesalahannya.
Rosdy yang tidak diwakili peguam meminta mahkamah untuk memberikan hukuman ringan atas alasan mempunyai tanggungan isteri, tiga anak dan turut menanggung ibu bapanya.
Mahkamah kemudian menetapkan penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan yang berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan pada 24 Ogos 2023. – UTUSAN