JSJK usaha tambah baik peruntukan undang-undang

JSJK usaha tambah baik peruntukan undang-undang

PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK)  giat memperkasakan undang-undang berkaitan jenayah komersial termasuk mencadangkan beberapa penambahbaikan serta mewujudkan seksyen baharu dalam perundangan sedia ada.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, langkah itu penting bagi memastikan perundangan kekal relevan dalam menangani modus operandi jenayah yang semakin kompleks.

“JSJK telah berjaya melakukan pindaan terhadap Kanun Keseksaan tahun lalu dengan memasukkan Seksyen 424A, 424B, 424C dan 424D bagi menangani isu keldai akaun. 

“Selain itu, Seksyen 116D turut diperkenalkan dalam Kanun Tatacara Jenayah untuk memberi kuasa kepada polis menyekat transaksi kewangan yang mencurigakan,” katanya ketika sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, usaha sedang dilakukan untuk memperkenalkan peruntukan baharu bagi beberapa kesalahan seperti merekrut individu sebagai pemegang keldai akaun, bersubahat dalam jenayah melibatkan premis termasuk menyewa atau membenarkan premis digunakan untuk tujuan jenayah serta pelucuthakan harta yang disita di bawah Kanun Keseksaan. 

Beliau berkata, sekiranya peruntukan tersebut diluluskan, ia diyakini dapat mengekang aktiviti jenayah komersial dengan lebih berkesan selain meningkatkan kesedaran masyarakat agar tidak terjerumus dalam kegiatan jenayah.

“JSJK juga komited memperkasakan tindakan penguatkuasaan menerusi siasatan berkualiti serta memperkukuhkan peranan masyarakat dalam usaha pencegahan jenayah.

“Penglibatan aktif semua pihak amat penting bagi memastikan mesej pencegahan serta informasi berkaitan jenayah komersial dapat disebarkan secara meluas,” katanya. 

Jelasnya, ini secara tidak langsung dapat mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan bebas daripada ancaman jenayah komersial.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN