Jalan rosak ancam lima buah kampung

Jalan rosak ancam lima buah kampung

PENDUDUK terpaksa melalui jalan yang berlubang dan rosak di Kampung Bertam lama, Gua Musang, Kelantan. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Lebih 3,000 penduduk di lima buah kampung di sini, berdepan masalah jalan rosak serta berlubang yang menyebabkan mereka terdedah risiko kemalangan.

Dakwa penduduk, masalah itu berpunca daripada pergerakan keluar masuk lori yang menggunakan laluan itu membawa muatan batu dari kawasan Projek Pembinaan Hidroelektrik Nenggiri ke kawasan tapak projek di Kampung Ingin Maju, Dabong, Kuala Krai dekat sini.

Kampung-kampung terjejas ialah Kampung Bertam Baru, Lulut, Toseng, Sri Mahligai, Jerek dan Kampung Ingin Maju.

Setiausaha Jawatankuasa Pem­bangunan dan Keselamatan Kam­pung Persekutuan (JPKKP) Kampung Bertam Lama, Mohd. Azhri Hasan, 57, berkata, hasil tinjauan yang dilakukan mendapati, lebih 100 kerosakan berlaku melibatkan struktur jalan berlubang, mendap dan pecah.

“Laluan ini menjadi pilihan kenderaan berat itu kerana lebih dekat dan menjimatkan masa pemandu. Apa yang lebih membimbangkan jalan ini turut digunakan oleh pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bertam di Kampung Bertam Baru serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bendahara,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Sementara itu, penduduk, Zulkifli Ibrahim, 61, berkata, beberapa kemalangan sudah berlaku di laluan berkenaan, selain kerosakan pada kenderaan.

Katanya, kehadiran kende­raan berat turut mengundang pelbagai masalah lain seperti pencemaran bunyi, debu dan habuk.

“Rumah saya yang terletak di tepi jalan kerap kena kesan tanah daripada tayar lori. Baru-baru ini paip air rumah saya juga digilis lori lebih muatan yang lalu-lalang.

“Saya berharap pihak bertanggungjawab terutamanya syarikat lori batu dapat bertanggungjawab dengan membaiki atau membaik pulih kerosakan jalan kampung. Tidak lama lagi sam­butan Hari Raya Aidilfitri dan laluan ini menjadi sibuk dengan kenderaan anak perantau yang pulang beraya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, pihaknya akan berusaha membaik pulih segera laluan yang rosak itu demi ke­selesaan dan keselamatan penduduk.

Beliau turut berharap syarikat lori atau pembekal batu dan pasir yang melalui jalan itu dapat mencari alternatif jalan lain untuk dilalui. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN