GUA MUSANG: Laluan pintu masuk ke Kelantan melalui Jalan Gua Musang-Kuala Lipis di sini, dijangka sesak ekoran pertambahan bilangan kenderaan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bermula Khamis ini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, laluan itu menjadi tumpuan perantau selepas Jalan Gua Musang-Lojing dan Jalan Gua Musang-Tasik Kenyir ditutup akibat lubang benam sehingga menyebabkannya terputus.
Katanya, jalan Gua Musang-Kuala Lipis merupakan satu-satunya pintu masuk melalui daerah ini dan pihaknya sudah bersiap sedia untuk menghadapi pertambahan kenderaan perantau yang melaluinya.
“Kita jangka Kelantan mula menerima perantau Khamis ini. Justeru, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang sudah melakukan persiapan yang cukup dengan bantuan agensi luar.
“Kerjasama dilakukan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Majlis Daerah Gua Musang untuk membantu polis bagi memastikan kelancaran lalu lintas,” katanya selepas Perhimpunan Sempena Peringatan Sambutan Hari Polis Ke-218, Peringkat IPD Gua Musang di Dewan Tanjung di sini, hari ini.
Choon Foo berkata, perantau digalakkan menggunakan laluan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan Lebuhraya Timur Barat untuk masuk ke Kelantan bagi mengurangkan kesesakan. – UTUSAN