Isteri menjerit, imam panggil jemaah minta tolong padam rumah terbakar

Isteri menjerit, imam panggil jemaah minta tolong padam rumah terbakar

KHOO Poay Tiong menyampaikan sumbangan sebanyak RM2,000 ketika melakukan lawatan ke rumah Muhammad Ghazali di Banda Hilir, Melaka, hari ini. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: “Isteri tiba-tiba menjerit ada api, saya terus panggil jemaah masjid minta tolong!” Itu detik cemas yang dialami Imam 2 Masjid Bandar Hilir, Ustaz Muhammad Ghazali, 40, apabila rumahnya terbakar dalam kejadian pada 2 Ramadan lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, Muhammad Ghazali, isterinya, Aishah Hasim, 40, dan anak lelaki mereka berusia sembilan tahun nyaris terperangkap apabila kebakaran tercetus di dapur rumah akibat getah gas tercabut secara tiba-tiba.

Menurutnya, isterinya sedang menyiapkan juadah berbuka puasa sebelum melihat percikan api di dapur.

“Isteri yang sedang memasak terus menjerit. Saya lihat api marak dengan pantas, lalu berlari keluar mendapatkan jemaah masjid untuk meminta bantuan. Mereka cuba memadamkan api menggunakan kain basah, tetapi gagal.

“Kebakaran hanya berjaya dikawal selepas pasukan bomba tiba dan memadamkan api sebelum merebak ke bahagian lain rumah.

“Saya bersyukur kerana kami bertiga selamat. Mujur api tidak merebak ke ruang tamu atau bilik, tetapi hampir semua peralatan dapur, perabot dan barangan elektrik musnah,” katanya kepada pemberita ketika menerima lawatan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Hilir, Leng Chau Yen di rumahnya di Banda Hilir, di sini hari ini.

Khoo turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM2,000 kepada keluarga Ustaz Muhammad sebagai tanda keprihatinan dan sokongan bagi meringankan beban mereka.

Beliau juga berjanji akan berusaha membantu membina semula rumah imam berkenaan agar mereka dapat menjalani kehidupan dengan lebih selesa.

“Saya dimaklumkan mengenai kejadian dan segera menghubungi pihak Penghulu untuk menyusun bantuan daripada agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM),” katanya.

Dalam pada itu, pihak bomba yang bertindak pantas berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan lain, sekali gus mengelakkan kerugian lebih besar. Kerugian dianggarkan melebihi RM20,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN