PETALING JAYA: Selepas memulakan kempen 2025 dengan pencapaian memberangsangkan, atlet lempar cakera negara, Irfan Shamsuddin sedang melakukan persiapan bagi memburu pingat keduanya di kejohanan Maurie Plant Meet di Stadium Lakeside, Melbourne, Australia hari ini.
Lebih bermakna, atlet berusia 30 tahun itu bakal beraksi sepentas bersama pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024, Matthew Denny di kejohanan tersebut.
Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert Ballard berkata, peluang itu pastinya menjadi platform terbaik buat Irfan bagi meningkatkan daya saingannya di kejohanan berprestasi tinggi.
“Satu pendedahan yang baik buat Irfan. Ini adalah peluang terbaiknya untuk bersaing dengan atlet seperti Denny. Sebelum ini, Denny merupakan pemenang pingat gangsa di Sukan Olimpik 2024 dan memenangi emas di Liga Berlian di Belgium.
“Sudah tentu ini akan memberi saingan yang mengujakan kepada atlet kita,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Irfan meraih pingat perak di Kejohanan Trek dan Padang Queensland di Stadium QSAC, Brisbane, Australia pada 13 Mac lalu selepas melakukan catatan 60.00 meter (m).
Pingat emas dimenangi Lawrence Okoye dari Great Britain (67.10m) manakala gangsa menjadi milik tuan rumah, Daniel Di Giandomenico (52.76m).
Irfan merupakan pemegang rekod kebangsaan bagi acara lempar cakera selepas melakukan catatan 62.55m pada Kejohanan Olahraga Austrian di Linz, Austria, 25 Mei 2017. – UTUSAN











