JOHOR BAHRU: Hospital Pasir Gudang yang dibina dengan kos lebih RM380 juta dijangka mula beroperasi pada pertengahan tahun ini selepas kerja-kerja pembinaan fizikal siap sepenuhnya.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Ling Tian Soon berkata, ketika ini, pemasangan peralatan perubatan dan pelbagai sistem masih dijalankan.
Ujarnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) juga akan melakukan ujian menyeluruh bagi memastikan semua sistem berfungsi dengan baik sebelum hospital diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM).
“Pemeriksaan terperinci untuk memastikan semua aspek pembinaan dan kelengkapan memenuhi piawaian teknikal, kejuruteraan serta perubatan yang ditetapkan.
“Pemasangan dan ujian sistem dijangka siap pada 12 Jun ini sebelum hospital diserahkan untuk operasi,” katanya.
Jumaat lalu, Tian Soon mengiringi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad melawat perkembangan projek dan mendengar taklimat kemajuan.
Hospital Pasir Gudang dibina dengan kos lebih RM380 juta dan memulakan pembinaannya secara rasmi sejak 2020 dengan menghadapi cabaran besar akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tian Soon berkata, hospital berkenaan dilengkapi 14 jabatan perubatan pakar, 304 katil serta peralatan moden bagi memastikan perkhidmatan kesihatan berkualiti.
“KKM turut menyediakan peruntukan tambahan RM81 juta bagi pembelian peralatan perubatan dan bukan perubatan, selain meluluskan lebih 1,845 jawatan untuk menempatkan kakitangan dan akan beroperasi secara berfasa mengikut kesediaan fasiliti,” katanya. – UTUSAN