MELAKA: Bermula dengan hasrat ingin membantu golongan asnaf mencari rezeki, seorang ibu cekal mencipta lembaran baharu dalam dunia perniagaan dengan mengusahakan kedai kuih raya yang menawarkan harga lebih murah berbanding pasaran.
Di Jalan Keretapi Lama, Kampung Gangsa di sini, berdirinya sebuah kedai kecil, Syurga Cookies Homemade hasil usaha gigih Azie Izhar, 39, yang kini menjadi pusat jualan lebih 200 jenis kuih raya dengan harga serendah RM10.
Apa yang menjadikan perniagaan ini istimewa bukan sekadar harga mampu milik, tetapi setiap keping biskut dan kuih yang terhidang merupakan hasil titik peluh golongan asnaf yang ingin mengubah kehidupan mereka.
Azie berkata, segalanya bermula pada 2017, apabila dia mendapat ilham untuk membantu golongan asnaf menjana pendapatan sendiri.
“Ketika itu, saya fikir mengapa tidak saya bantu mereka dengan cara yang saya mampu. Saya galakkan mereka buat kuih, saya uruskan promosi dan jualan secara dalam talian.
“Sambutan sangat menggalakkan, sehingga akhirnya saya fikir, sudah tiba masanya untuk ada kedai sendiri,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Memandangkan permintaan yang semakin tinggi, Azie tekad membuka kedai fizikal di halaman rumahnya pada 2022, selain mencipta ruang khas untuk menempatkan hasil kerja 53 vendor, majoritinya terdiri daripada asnaf, ibu tunggal, ahli keluarga dan kenalan rapat.
“Walaupun kedai ini menghimpunkan pelbagai jenis kuih raya, saya tetap menekankan kualiti dan keunikan setiap produk.
“Saya mahu pelanggan menikmati kuih yang bukan sahaja sedap tetapi berkualiti. Setiap kuih akan melalui proses uji rasa sebelum dijual, dan vendor juga tidak boleh menghantar kuih yang sama. Ini supaya lebih banyak pilihan dapat diberikan kepada pelanggan,” jelasnya.
Lebih bermakna, perjuangan Azie tidak bersendirian apabila suami, Azley Alias, 42, sanggup meninggalkan pekerjaan di sebuah kilang pembuatan kapal demi menyokong impian si isteri dan membantu menguruskan kedai. – UTUSAN