Hassan Karim kecewa kaedah pemilihan PKR

Hassan Karim kecewa tiada lagi satu ahli satu undi

HASSAN KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim meluahkan kekecewaan terhadap perubahan sistem pemilihan kepemimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kini menggunakan sistem undi perwakilan berbanding kaedah satu anggota, satu undi seperti sebelum ini.

Bekas Pengerusi PKR Johor itu berkata, perubahan itu menjejaskan prinsip demokrasi dalam parti kerana keputusan pemilihan hanya ditentukan oleh perwakilan terpilih, bukan keseluruhan anggota akar umbi.

“Saya amat kecewa dan berdukacita kerana prinsip satu anggota, satu undi tidak lagi digunakan dalam pemilihan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden PKR.

“Sistem sebelum ini memberikan kuasa langsung kepada setiap anggota untuk memilih kepimpinan tertinggi,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan PKR Pasir Gudang di sini, semalam.

Menurutnya, beliau akur dengan keputusan Kongres Khas PKR yang meluluskan perubahan itu, meskipun tidak bersetuju dengannya.

Pada majlis itu, Hasan mengulangi keputusannya untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) kerana faktor usia dan mahu memberi peluang kepada pemimpin muda.

Beliau yang mewakili Pasir Gudang sejak PRU14 pada 2018 berkata, perjuangannya sepanjang berkhidmat untuk memperkukuhkan parti di kawasan itu bukanlah mudah, malah melalui pelbagai kekalahan sebelum mencapai kemenangan.

“Parlimen Pasir Gudang wujud bermula dalam PRU 2004, PKR bertanding dan kalah. PRU 2008 dan 2013 juga kita kalah.

“Tetapi anggota, penyokong serta pimpinan PKR Pasir Gudang tidak kenal putus asa. Akhirnya, dalam pilihan raya berikutnya pada PRU14 (2018) dan PRU15 (2022), PKR menang.” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN