Enam stesen pemancar 5G terjejas akibat banjir di Johor

Enam stesen pemancar 5G terjejas akibat banjir di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Sebanyak enam stesen pemancar telekomunikasi 5G di negeri ini terjejas akibat banjir yang melanda sejak kelmarin, membabitkan lima stesen di Johor Bahru dan satu di Pontian.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, gangguan berlaku disebabkan bekalan elektrik terputus, namun perkhidmatan 4G masih berjalan seperti biasa.

“Situasi ini akan terus dipantau dan kita percaya stesen tersebut akan beroperasi semula sebaik bekalan pulih,” katanya selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Senai Utama, hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil inisiatif menyediakan Wi-Fi percuma di PPS yang padat di Sabah, Sarawak dan Johor. 

Katanya, secara keseluruhan empat PPS di Sabah telah dipasang Wi-Fi, sementara 12 di Sarawak dan dua di Johor.

“PPS di negeri ini yang dipasang Wi-Fi membabitkan Dewan Senai Utama dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Batu, sementara dua lagi akan dipasang di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kuo Kuang dan Sekolah Kebangsaan Bukit Mutiara.

“Pada November sahaja sebanyak 2.7 juta SMS telah dihantar manakala 4.1 juta SMS pada Disember, sejuta pada Januari dan 13,700 setakat 10 Feb lalu,” katanya.

Syarikat telekomunikasi juga menghantar lapan juta Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) amaran awal bencana sejak November lalu sehingga 10 Februari tahun ini. 

Beliau menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengambil serius amaran yang diberikan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini ketika banjir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN