JOHOR BAHRU: Enam peniaga warga asing yang berniaga tanpa lesen di bazar Ramadan di negeri ini menerima padah apabila gerai mereka disita anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, peniaga itu dikesan menjalankan perniagaan di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan Majlis Perbandaran Batu Pahat.
“Sejak hari pertama Ramadan, saya telah arahkan PBT untuk buat penguatkuasaan di semua bazar Ramadan untuk pastikan peniaga patuh syarat ditetapkan. Kita tidak berkompromi dan terus menyita gerai peniaga warga asing ini serta merampas barang jualan mereka.
“Mereka ini kebanyakannya berniaga secara curi-curi menjual kuih-muih di bazar Ramadan. Kalau hari biasa, ada yang menjual ikan dan barangan runcit,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sesi Libat Urus Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran bertemakan Cabaran Sebulan Tanpa Pembaziran sempena Ramadan di Bazar Ramadan Jalan Merbau, Bandar Putera, di sini semalam.
yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khaled Mohamed dan Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin.
Mohd. Jafni berkata, pihaknya turut mengeluarkan satu kompaun kepada seorang peniaga tempatan di kawasan Majlis Perbandaran Kluang kerana menggajikan pekerja warga asing di gerainya.
Pihaknya turut mengeluarkan notis kepada lima peniaga yang melakukan kesalahan kecil seperti tidak mempamerkan tanda harga, barang menghalang lalu lintas serta isu kebersihan.
“Penguatkuasaan yang dilakukan ini bertujuan melindungi hak peniaga tempatan yang menjalankan perniagaan secara sah.
“Kita mahu memastikan hanya mereka yang memiliki lesen dibenarkan berniaga, manakala peniaga tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan sitaan serta-merta,” tegasnya. – UTUSAN