MELAKA: Dua lelaki dalam lingkungan usia 50-an yang tidak berpuasa dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) ketika leka menikmati hidangan teh tarik dan roti bakar di sebuah warung bukan Islam di Bukit Rambai di sini, pagi tadi.
Operasi Kesalahan Tidak Menghormati Ramadan itu dilakukan pada pukul 11.05 pagi selepas pihak berkuasa mengesan aktiviti mencurigakan di sebuah premis kayu yang dikunci dari dalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, anggota penguat kuasa terpaksa memasuki premis itu melalui tingkap setelah mendapati pintu belakang dikunci rapat.
“Seorang daripadanya yang bekerja sebagai tukang pendawaian elektrik memberi alasan tidak sihat untuk minum di situ bersama rakannya merupakan tukang rumah.
“Namun, alasan kesihatan bukanlah tiket untuk makan secara terbuka di tempat awam, lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa,” katanya ketika ditemui selepas selesai operasi.
Tambah Rahmad, sehingga 7 Ramadan, JAIM telah melaksanakan 11 operasi membanteras kesalahan tidak menghormati Ramadan membabitkan pemeriksaan ke atas 127 premis makanan.
Ujarnya, lapan lelaki telah ditahan atas kesalahan sama dan kesemua mereka memberikan alasan tidak sihat bagi mengelak tindakan undang-undang.
Jelasnya, pada tahun lalu, sebanyak 38 kes serupa direkodkan dengan majoriti pesalah memberikan alasan kesihatan sebagai helah.
“Kesalahan itu tertakluk di bawah Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka (EKSNM) 1991 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan bagi kesalahan kali pertama.
“Perbuatan ini bukan sahaja mencerminkan kelemahan iman tetapi juga mencemarkan kesucian Ramadan. Kita akan terus mempergiat pemantauan bagi memastikan amalan ini tidak berleluasa,” tegasnya. – UTUSAN