PADANG TERAP: Seorang datuk hampir pengsan apabila melihat tangan cucunya hancur akibat mercon bola kelmarin.
Menurut Mohd. Noor Abdullah, 60, selain tangan tangan kiri cucunya yang hancur, bahagian bawah pipi sebelah kanan turut terkoyak akibat terkena letupan itu.
“Saya susah hati mengenangkan masa depan cucu memandangkan dia akan mengalami kecacatan kekal,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Menurutnya, Muhammad Zharif Daniel Norsyuwari Hariz, 7, bercita-cita menjadi tentera dan kejadian itu sudah tentu menghampakan impian kanak-kanak tersebut.
Kataya, cucunya itu bermain mercun bola bersama adiknya, Muhammad Aiman Naufal, 4, dalam kejadian yang berlaku di Kampung Baru, Kuala Nerang di sini, semalam.
Dalam kejadian pukul 8.15 malam itu, kedua-dua mangsa melecur pada beberapa bahagian badan dengan kanak-kanak berusia tujuh tahun dilaporkan parah dan kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
Mohd. Noor berkata, ketika kejadian dia sedang mengikat daun palas bersama dua rakan sebelum terdengar bunyi dentuman kuat, lalu segera keluar untuk melihat.
“Saya berlari keluar dan terkejut melihat Zharif berlumuran darah, dia meraung sambil sebut sakit dan pedih, manakala adiknya menangis sambil memanggil abangnya. Saya ambil sehelai baju dan balut tangan cucu.
“Ketika dalam perjalanan saya terserempak dengan anak dan memintanya menghantar Zharif ke hospital, sementara saya pulang untuk mengambil adiknya yang turut cedera,” katanya.
Katanya, dia dan ahli keluarga tidak mengetahui jenis mercun yang mengakibatkan dua beradik itu cedera, selain tidak tahu bagaimana mereka mendapatkan bahan letupan itu.
“Di lokasi, saya jumpa cebisan daging cucu dan kesan darah pada dinding, selain saki-baki mercun jenis telur naga. Ada juga serpihan botol air mineral yang dipercayai meletup dan berkemungkinan sejumlah mercun dimasukkan dalam botol itu sebelum dicucuh api.
“Mungkin sebab itu berlaku letupan kuat, mungkin juga ada mercun bola, namun saya tidak pasti,” katanya. – UTUSAN










