SHAH ALAM: DAP secara rasmi mewujudkan empat jawatan baharu di dalam struktur Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) bagi terus mengkuhkan parti.
Empat jawatan tersebut adalah Ketua Parlimen DAP, Pengarah Strategik, Pengarah Dasar dan Pengarah Pilihanraya.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau mencadangan pengwujudan jawatan-jawatan baharu tersebut dan dimasukkan ke dalam perlembagaan DAP.
Menurut beliau, jawatan Ketua Parlimen DAP akan dilantik dari kalangan bukan anggota pentadbiran.
“(Ketua Parlimen DAP) untuk mengelakkan bahawa pemimpin DAP di label sebagai tidak bersuara atau mengekang hak bersuara, saya mencadangkan jawatan itu dimasukkan ke dalam perlembagaan parti.
“Ia mesti dilantik dari bukan kalangan anggota pentadbiran apabila DAP berada di dalam kerajaan. Maksudnya, Menteri dan Timbalan Menteri tidak boleh memegang jawatan ini.
“Jawatan itu akan mewakili DAP untuk menyatakan pendirian parti di dalam Dewan Rakyat,” katanya ketika berucap pada Kongres Kebangsaan DAP Ke-18, hari ini.
Anthony Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, jawatan Pengarah Strategik diwujudkan untuk menyeragamkan antara parti dalam Pakatan Harapan (PH).
Katanya, Pengarah Dasar pula bagi melengkapi keperluan parti yang kini terlibat dalam penggubalan dasar.
“Sekarang ini kita terlibat dalam penggubalan dasar-dasar kerajaan, jadi parti kena ada satu sistem yang lebih baik.
“Ini supaya kita dapat membincangkan dan membahaskan dasar-dasar yang dilaksana oleh kerajaan supaya ia tidak bertentangan dengan perjuangan parti,” jelasnya.
Sementara itu, tambahnya, Pengarah Pilihanraya akan bertanggungjawab untuk memastikan DAP bersedia untuk berhadapan dengan pilihan raya. – UTUSAN