Catat sejarah, Slam, Exists bakal bergabung pentas Julai ini - Utusan Malaysia

Catat sejarah, Slam, Exists bakal bergabung pentas Julai ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Slam dan Exists bakal bergabung pentas di konsert Slam X Exists-Our Journey di Mega Star Arena Kuala Lumpur, pada 26 Julai depan.

Konsert anjuran bersama SS Karya Venture dan Republic Mokhmah Records itu adalah sebuah penceritaan tentang perjuangan seni dua kumpulan legenda ini yang sudah melalui pelbagai sepak terajang dalam industri seni tanah air.

“Judul Slam X Exists adalah sangat signifikan dengan penganjuran daripada Republic Mokhmah Records dan SS Karya Venture kerana apa yang kami ketengahkan menerusi konsert ini adalah perjalanan panjang Slam dan Exists dalam karier seni mereka.

“Slam dan Exists bukan sekadar kumpulan muzik tetapi menjadi jenama kukuh dalam industri hiburan Nusantara menerusi karya-karya mereka yang bermutu.

“Maka setelah perbincangan demi perbincangan dilakukan bersama Slam dan Exists kerana mereka tidak mahu memberi konsert yang sama tanpa konsep yang jelas, akhirnya kami mencapai kata putus bahawa ‘bercerita’ tentang perjalanan panjang mereka menerusi ‘Slam X Exists-Our Journey’,” ujar Shah selaku pengasas SS Karya Venture.

Tambahnya, penyatuan kedua-dua kumpulan ini secara tidak langsung bakal menjadi apresiasi kepada para peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seni mereka.

“Besar harapan kami ‘Slam X Exists-Our Journey akan menjadi satu momen buat peminat melihat perjuangan kami, menikmati karya kami dan menghargai bukan hanya satu kumpulan atau seorang pemuzik tetapi juga sentiasa menyokong pemuzik dengan sihat.

“Sebab muzik bukan tentang perjuangan seorang tetapi melalui muzik dengan pelbagai latar belakang tetap bertujuan menyatukan kita semua,” katanya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, Slam telah dibentuk oleh Shah yang pernah menjadi anggota kumpulan Exists sebelum meneruskan kejayaannya bersama anggota yang lain termasuk Lili, Man, Zamani dan Eddie.

SExists lebih dua dekad bermuzik dengan beberapa anggota bersilih ganti termasuk vokalis ; daripada Mamat, Ezad, dan kini Ezad sebagai tulang belakang kumpulan yang berasal daripada Johor Bahru ini iaitu Ajai, Ujang, Along dan Musa.

Pada malam itu, Slam dan Exist akan menyampaikan hit-hit mereka seperti Rindiani, Gerimis Mengundang, Mentari Muncul Lagi (Slam) atau Julia, Langkah Seiringan, Jesnita (Exists).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN