KOTA BHARU: Konsortium E-Mutiara Bhd. (E-Mutiara) menjelaskan, pihaknya tidak menaikkan harga tambang bas ekspres bertaraf eksekutif pada musim perayaan, sebaliknya hanya melaksanakan kadar harga yang sepatutnya.
Pengerusi Eksekutifnya, Che Ibrahim Che Ismail berkata, sudah berpuluh tahun pengusaha-pengusaha bas ekspres di Kelantan memberikan kadar harga tambang ekonomi untuk perkhidmatan bas bertaraf eksekutif dan perkara itu hanya dilaksanakan bermula cuti persekolahan baru-baru ini.
“Kita kenakan kadar tambang RM55 (pada cuti sekolah baru-baru ini) yang masih berada di bawah harga lantai bagi bas eksekutif pada kadar RM75 untuk laluan Kuala Lumpur-Kota Bharu (KL-KB). Sekarang hangat diperkatakan kenaikan kadar tambang RM82.50 atau sebanyak 89 peratus.
“Kami sudah berbincang dengan APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat) dan memberitahu, perkara itu tidak benar kerana tiada kenaikan harga, sebaliknya kami (pengusaha bas ekspres) hanya melaksanakan kadar tambang eksekutif,” katanya ketika ditemui.
Che Ibrahim berkata, pihaknya mengenakan harga tambang hanya RM5 melebihi harga lantai bas eksekutif bagi laluan KL-KB.
Katanya, kadar harga tambang bertaraf ekonomi pula hanya mengalami kenaikan RM4.40 daripada harga siling dengan mengambil kira 10 peratus caj perkhidmatan lebihan yang dikenakan APAD, berikutan bas berjalan tanpa penumpang selain pelbagai masalah dihadapi saban tahun.
“Sebenarnya sejak 2022, kerajaan telah mewartakan bas dua tingkat berkapasiti 49 tempat duduk dengan peletakan 2-1 (berkembar dan tunggal) ditakrifkan sebagai bas eksekutif manakala bas berkapasiti melebihi 49 tempat duduk ditakrifkan sebagai bas ekonomi.
“Bagi dek tunggal atau setingkat pula, bas berkapasiti 37 tempat duduk ke bawah dengan peletakan 2-1 ditakrif sebagai eksekutif manakala bas berkapasiti tempat duduk lebih daripada itu ditakrif sebagai ekonomi,” ujarnya. – UTUSAN