ALOR SETAR: Bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail belum bersedia untuk mengumumkan sebarang keputusannya berkaitan pertandingan jawatan tertinggi parti itu pada pemilihan PKR, Mei depan.
Kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah itu, beliau hanya akan memberitahu sama ada akan bertanding atau sebaliknya selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.
“Raya dahulu, kalau ada saya akan beritahu dengan media di Kedah dulu,” katanya ringkas ketika ditanya sama ada akan bertanding dalam pemilihan PKR pada 24 Mei depan.
Pada 10 Februari lalu, Saifuddin memberitahu akan menunaikan solat istikharah terlebih dahulu sebelum memutuskan apa-apa jawatan untuk bertanding dalam pemilihan PKR.
Beliau pernah bertanding jawatan nombor dua PKR pada 2022 namun, tewas kepada Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, penglibatan agensi lain dalam operasi berisiko tinggi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) adalah model kerjasama biasa yang dilakukan.
Katanya, sempadan perairan negara meliputi kawasan 590,000 kilometer persegi terlalu luas, justeru prosedur operasi standard (SOP) semasa untuk operasi keselamatan perlu sentiasa diperkemaskan.
“Ada beberapa model bagaimana kerjasama agensi disekalikan misalnya ketika ancaman di Pantai Timur Sabah, kita wujudkan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) di mana polis menjadi command control (pemerintah).
“Akan ada pembahagian tugas kawasan, misalnya Maritim Malaysia sedang gerakkan Khas Pagar Laut pada musim perayaan sebab berdasarkan statistik lepas, sesetengah pihak berpendapat kita perlahankan penguatkuasaan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan operasi berisiko tinggi Maritim Malaysia selepas ini, terutama pada waktu malam atau awal pagi tidak lagi dilakukan secara bersendiri jika ia boleh mengancam keselamatan dan nyawa pegawai penguat kuasa, sebaliknya turut membabitkan agensi lain.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, langkah itu bagi meminimumkan risiko dan mengelak kejadian tidak diingini ketika berdepan penjenayah yang tidak diketahui kekuatan mereka yang menceroboh perairan negara. – UTUSAN