Bazar Ramadan Stadium Sultan Muhammad V tutup sementara 

Ribut: Bazar Ramadan Stadium Sultan Muhammad V tutup sementara 

ANTARA khemah yang mengalami kerosakan akibat dipukul ribut di kawasan Bazar Ramadan Stadium Sultan Muhammad Ke IV, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Urus niaga di Bazar Ramadan Stadium Sultan Muhammad IV di sini, terpaksa ditutup sementara selepas 26 khemah menjual makan dan hidangan untuk berbuka puasa  rosak dipukul ribut, semalam.

Penganjurnya, Tun Ahmad Luqman Tun Mohammad berkata, proses membaik pulih khemah yang rosak dan kerja-kerja pendawaian elektrik dilakukan bagi membolehkan peniaga kembali mencari rezeki secepat mungkin.

“Semua peniaga juga sudah dimaklumkan untuk tidak berniaga pada hari ini (semalam). Saya hanya mengetahui kejadian itu sebaik sahaja dimaklumkan pengawal keselamatan pada pukul 3 pagi.

“Sejurus selepas menerima panggilan kecemasan, saya ke lokasi dan hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati beberapa khemah di bahagian tepi dan tengah mengalami kerosakan,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga air balang, Azrol Basuki, 20, berkata, kejadian itu diketahui menerusi kumpulan WhatsApp peniaga bazar pada pukul 6 pagi semalam.

Katanya, bagaimanapun maklumat tersebut telah disampaikan lebih awal  sekitar pukul 3 pagi.

Seorang peniaga kuih-muih, Nor Asmak Makhtar, 53, pula bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan dan hanya khemah yang rosak.

“Mungkin disebabkan air hujan yang banyak bertakung di atas khemah serta angin kuat menyebabkan ia menjadi condong dan turun ke bawah.

“Semua yang berlaku ini ujian dan Alhamdulillah sejak hari pertama Ramadan hingga semalam, jualan purata harian mencecah hampir RM3,000,” ujarnya. – UTUSAN

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN