SABAK BERNAM: Polis merekodkan keterangan empat individu berkaitan penemuan mayat bayi dalam mangkuk tandas di sebuah stesen minyak di Sungai Haji Dorani di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md. Yusof Ahmad berkata, kesemua individu itu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Sehingga kini empat orang (rekod keterangan) dan tiada saksi lain. Tiada tangkapan dilakukan setakat ini dan polis dalam tindakan mengesan suspek wanita itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, kes itu masih disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat secara sulit.
“Sebarang perkembangan terbaharu kes itu akan dimaklumkan kepada pihak media,” ujarnya.
Justeru, Md. Yusof meminta mana-mana saksi yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Aimi lyana Mohd. Khairani di talian 018-2510452 atau balai polis berdekatan.
Utusan Malaysia semalam melaporkan suasana stesen minyak itu digemparkan dengan penemuan mayat seorang bayi di tandas wanita premis itu dan lebih menyayatkan hati, tubu ditemukan orang awam dalam keadaan terlangkup dalam mangkuk tandas.
Pegawai perubatan hospital kemudian mengesahkan bayi itu telah meninggal dunia kira-kira pukul 11.15 pagi. – UTUSAN