Bayar RM320 sebulan makan tengah hari, 20 warga asing dicekup tak puasa

Bayar RM320 sebulan makan tengah hari, 20 warga asing dicekup tak puasa

MOHD. FARED Mohd. Khalid turut menyertai serbuan JAIJ ke atas sebuah kedai makan di kawasan Pasar Borong Pandan, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU:  Sebuah kedai makan di Pasar Borong Pandan dikesan mengenakan bayaran RM320 sebulan bagi pelanggan menikmati hidangan, termasuk waktu tengah hari sepanjang Ramadan, diserbu Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ).

Serbuan JAIJ mendapati kira-kira 20 warga asing beragama Islam sedang menjamu selera, dengan sebahagian cuba melarikan diri melalui pintu belakang premis berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, kedai makan milik warga tempatan itu adalah lokasi ketiga yang diserbu hari ini selepas menerima aduan awam dan melakukan pemantauan terhadap pematuhan Seksyen 15 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

“Ketika serbuan, ada yang masih menyuap makanan dan menghirup minuman secara terbuka. Perbuatan ini jelas tidak menghormati kesucian Islam, dan undang-undang Syariah tetap terpakai kepada mereka selagi beragama Islam,” katanya selepas operasi di sekitar bandar raya ini hari ini.

Individu yang ditahan boleh dikenakan kompaun RM1,000 atau hukuman penjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kesemua mereka akan dipanggil ke Bahagian Penguatkuasaan sebelum tindakan lanjut ditentukan oleh Bahagian Pendakwaan Syarie Negeri Johor.

Menurutnya, pihak JAIJ dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menjalankan siasatan lebih menyeluruh terhadap peniaga yang menggalakkan umat Islam makan secara terbuka pada siang Ramadan.

“Jika tiada yang menjual, tiada yang akan membeli. Pemilik premis ini akan dipanggil bagi menjelaskan bagaimana aktiviti ini boleh berlaku dan tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN